Minda kelas ketiga, punca oBike 'diratah'

Zaim Ibrahim
Februari 28, 2018 14:30 MYT
Basikal oBike ini dipercayai sedang diubah suai seperti hak miliknya di Apartment Kenangan Ampang. (sumber- Pembaca Astro Awani/Ahmad D Fikry)
Isu vandalisme terhadap perkhidmatan perkongsian basikal tanpa stesen, oBike, makin berleluasa kerana minda masyarakat yang masih pada tahap ketiga.
Ini kesimpulan hasil tinjauan Astro Awani di Ampang, Selangor baru-baru ini, banyak basikal oBike yang sepatutnya digunakan sebagai pengangkutan awam menjadi 'mangsa' vandalisme.
Sikap masyarakat dalam negara kita boleh digambarkan dengan keadaan basikal oBike yang diratah oleh 'tangan-tangan' gatal.
Terdapat bahagian-bahagian basikal ditanggalkan seperti bahagian roda dan kerusi malah ada yang dirosakkan bahagian kuncinya untuk kegunaan sendiri.
Basikal itu yang pada asalnya berwarna kuning, telah diubah suai kepada warna hijau dengan semburan cat oleh si pencuri atas kreativiti secara membabi buta.
Apa yang lebih menyedihkan ialah selepas puas basikal dirosakkan dan komponen dicuri, 'si pencuri bertindak membuangnya di tepi jalan seperti tiada sebarang nilai.
Hal ini boleh berlaku berikutan sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan kurang kesedaran sivik.
Perbuatan itu mendapat reaksi negatif daripada masyarakat yang kecewa dengan sikap segelintir masyarakat di Malaysia.
“Perkhidmatan basikal perkongsian di luar negara dengan Malaysia amat berbeza. Di Belanda dan Jepun, masyarakat mereka menjaga harta benda awam kerana telah diasuh semenjak usia masih kecil,”
“Saya berpendapat, kurangnya kesedaran sivik mengakibatkan perkara ini berlaku,” jelas seorang pereka grafik yang hanya mahu dikenali sebagai Wong.
Beliau mengakui pernah ternampak basikal kuning itu dibuang di dalam longkang dan dibiarkan berkarat di tepi jalan.
Bagi arkitek, Syahrul Nizam pula beliau meluahkan rasa kekecewaan dengan sikap kurang tanggungjawab pengguna membiarkan basikal itu dirosakkan secara melulu kerana kemudahan yang diberikan sepatutnya dihargai untuk kegunaan semua masyarakat.
“Saya pernah melihat banyak basikal oBike ditinggalkan di tepi jalan. Malah ada bahagian-bahagian pada basikal itu turut dicuri. Bagi saya, ini semua berpunca daripada pemikiran kelas ketiga,” jelas beliau yang pernah beberapa kali menggunakan perkhidmatan oBike.
Menurut seorang peniaga yang dikenali sebagai Tengku Syawal, basikal itu sepatutnya digunakan untuk aktiviti riadah namun dia kecewa kerana telah disalahgunakan oleh segelintir masyarakat.
“Punca kejadian vandalisme ini adalah disebabkan masyarakat kita yang tidak bertanggungjawab. Basikal itu bukannya harta persendirian oleh itu perlu dijaga dengan baik untuk kegunaan orang lain,” tambahnya lagi.
Perbuatan memalukan ini pasti tiada jalan noktah jika sikap masyarakat untuk menghargai dan menjaga harta benda awam tidak berubah.
#basikal #Kuala Lumpur #Lembah Kelang #oBike #perkhidmatan perkongsian basikal #Vandalisme
;