Minat ubah suai kenderaan jangan sampai melanggar undang-undang - JPJ
Astro Awani
Mac 26, 2021 06:45 MYT
Mac 26, 2021 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Sanggup merisikokan nyawa sendiri dan orang lain, demi minat dan hobi ubah suai kenderaan.
Golongan ini bukan sahaja melanggar undang-undang jalan raya, malah dilihat tidak mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata, pihaknya menjalankan tindakan penguatkuasaan sebagai langkah terakhir memastikan semua pengguna jalan raya berada dalam keadaan selamat dengan mematuhi peraturan ditetapkan.
"Dalam operasi ini juga, kita teliti bahawa, masih lagi ada segelintir penguna jalan raya yang tidak mengendahkan peraturan jalan raya, seperti tidak memiliki lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan sebagainya.
"Masih lagi penguna jalan raya yang mengubah suai kenderaan dengan tidak mengikut spesifikasi. Ada yang buat sebagai hobi dan minat, bagaimanapun, hobi dan minat ini hendaklah tidak melangkaui," katanya ketika ditemui malam tadi.
Beliau mengetuai operasi bersepadu di Jalan Cheras, berhampiran Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, semalam.
Katanya, spesifikasi yang dikeluarkan pengilang kenderaan perlu dipatuhi kerana ia ditetapkan dengan kelulusan pihak kerajaan.
"Jabatan berharap kolaborasi antara jabatan ini dapat diteruskan dan penguatkuasaan ini dapat memberi gambaran jelas kepada semua pengguna jalan raya bahawa keselamatan pengguna jalan raya bukanlah perkara yang boleh diambil mudah.
"Ini kerana, ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya dan pengguna jalan raya yang lain," tambahnya.
Seramai 133 pegawai dan anggota JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terbabit dalam operasi bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam itu.
Dalam operasi itu, sejumlah 1,750 kenderaan diperiksa dengan 197 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan.
Sebanyak 365 notis dikeluarkan dengan kesalahan tiada lesen memandu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 170, disusuli kes nombor pendaftaran ‘fancy’ (76) serta tiada LKM (67).
Manakala JSPT telah memeriksa sejumlah 245 kenderaan dan berakhir dengan 47 notis dikeluarkan, JAS pula memeriksa sejumlah 53 kenderaan dan mengambil tindakan terhadap 11 daripadanya.
Sementara itu, 10 pemandu didapati positif dadah jenis methamphetamine serta ganja dan dua individu warga Myanmar ditangkap kerana tidak memiliki pasport.
#Kuala Lumpur
#operasi
#keselamatan
#Dadah
#Cheras
#siasatan
#Imigresen
#Myanmar
#JPJ
#ikut spesifikasi
#spesifikasi
#kenderaan
#lesen memandu
#LKM
#hobi
#ubah suai kenderaan
#Mohd Zaki Ismail