Minat syarikat China untuk melabur di Malaysia meningkat - PM Anwar
Hasimi Muhamad
November 6, 2024 16:10 MYT
November 6, 2024 16:10 MYT
SHANGHAI: Terdapat peningkatan minat dalam kalangan pelabur-pelabur dari China untuk meneroka pelaburan di Malaysia hasil lawatan kerja ketiga Datuk Seri Anwar Ibrahim ke republik itu.
Ringkasan AI
- Peningkatan Minat Pelabur China: Lawatan kerja Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China telah meningkatkan minat pelabur China untuk melabur di Malaysia, yang dianggap sebagai perkembangan positif.
- Fokus Perbincangan Pelaburan: Perbincangan antara Anwar dan pelabur China tertumpu kepada dasar negara, peraturan pelaburan, dan isu-isu yang dihadapi oleh syarikat-syarikat China.
- Kerjasama Teknologi dan Inovasi: Anwar turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang teknologi dan pelaburan inovasi dengan pelabur China, termasuk sesi dialog dan mesyuarat dengan pelbagai kapten industri.
Menurut Perdana Menteri, kecenderungan tersebut disifatkan sebagai satu perkembangan yang sangat positif.
“Hari ini saya dengan menteri tumpu soal pelaburan. Perbincangan sama ada satu demi satu ataupun berkumpulan.
“Saya lihat ada kencenderungan dan minat China yang meningkat dan ini satu perkembangan yang sangat positif.
“Walaupun ia agak orang kata dalam bahasa melelahkan kerana pertemuan sejak pagi. Tetapi saya fikir bermanfaat,” katanya ketika ditemui delegasi media Malaysia di sini pada Rabu.
Jelas Anwar, yang juga Menteri Kewangan, fokus perbicangan turut terarah kepada dasar negara dan suasana peraturan pelaburan dan masalah yang dibangkitkan dalam kalangan syarikat-syarikat dan kapten industri dari China.
Terdahulu, Anwar yang dalam rangka lawatan kerja ke China memulakan hari ketiga lawatannya di Shanghai dengan sesi dialog anjuran Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pagi tadi.
Sesi itu menghimpunkan dua pelabur China, termasuk wakil dari Chengwei Capital, iaitu firma modal teroka terkemuka dengan kepakaran dan sumber dalam industri semikonduktor global.
Beliau juga bertemu dengan wakil dari NRL Capital, sebuah syarikat sains dan kejuruteraan yang diasaskan oleh individu yang penting dalam kejayaan pembangunan kluster industri berteknologi tinggi di seluruh China.
Semasa mesyuarat itu, Perdana Menteri turut membincangkan potensi kerjasama berkaitan teknologi dan pelaburan inovasi ke Malaysia.
Selain itu, turut berlangsung sesi meja bulat bersama 24 kapten industri.
Anwar dijadual berlepas ke Beijing sekitar jam 4 petang ini untuk meneruskan lawatan kerja ke China sehingga 7 November.
Dalam lawatan di Beijing, jadual padat menanti Perdana Menteri termasuk menyampaikan syarahan terbuka bertajuk “Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order” di Universiti Peking dan melawat Huawei Executive Briefing Centre.
Beliau juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping.
Pada 2023, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia.