Minat miliki senjata api membawa padah

Raffi Bachik
Februari 12, 2018 17:14 MYT
Tindakan suspek itu berjaya dihidu pihak polis apabila lelaki terbabit menjual senjata api tiruan menjadi tular di laman sosial Facebook baru-baru ini. - Foto Astro AWANI
Minat mendalam seorang peniaga terhadap barangan senjata api membawa padah apabila dia ditahan pihak polis selepas disyaki menjual 12 pucuk pistol tiruan bernilai kira-kira RM10,000.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, suspek berusia lingkungan 40-an yang berasal dari Negeri Sembilan itu dipercayai mendapatkan bekalan secara atas talian dari negara china.
Menurutnya, tindakan suspek itu berjaya dihidu pihak polis apabila lelaki terbabit menjual senjata api tiruan menjadi tular di laman sosial Facebook baru-baru ini.
“Bertindak hasil risikan dan maklumat, sepasukan Unit Penguatkuasaan dan Risikan perlesenan Melaka membuat serbuah di sebuah gerai di Pahlawan Walk, Jalan Plaza Mahkota di sini sebelum menahan suspek sekitar 9.30 malam, Jumaat lalu.
“Hasil serbuan ke atas sebuah gerai menjual kasut milik suspek, pasukan polis menemui beberapa senjata menyerupai senjata api di rak belakang kedai tanpa permit sah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.
Abdul Jalil memberitahu, berdasarkan siasatan, suspek baru sahaja dua bulan menjalankan aktiviti penjualan tersebut dengan nilai setiap pistol antara RM800 hingga RM1,000 setiap satu.
Mengulas lanjut katanya, selain 12 senjata api tiruan pelbagi jenis itu, polis turut merampas satu kotak plastik warna biru, satu rak besi warna putih dan satu beg jenama Ferrari.
Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tidak menjual mahupun membeli senjata api tiruan.
#Abdul Jalil Hassan #minat #Pahlawan Walk #pistol tiruan #Plaza Mahkota #senjata api
;