Minat miliki hartanah tinggi, namun permintaan pembelian kurang - PropertyGuru
Bernama
September 20, 2023 07:45 MYT
September 20, 2023 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Minat dalam pembelian hartanah kekal tinggi di Malaysia walaupun pengguna berdepan isu kos sara hidup yang tinggi, kekangan kewangan dan kemampuan, kata PropertyGuru Malaysia.
Dalam Kajian Sentimen Pengguna (CSS) Separuh Kedua 2023 (2H2023), Pengurus Negara Sheldon Fernandez berkata, kira-kira 50 peratus daripada tinjauan, terutamanya demografi golongan muda dan pendapatan rendah, bergantung kepada sokongan kerajaan untuk membeli rumah.
"Selain itu, 46 peratus daripada responden berkata mereka berdepan cabaran yang berterusan bagi mendapatkan pembiayaan untuk skim perumahan mampu milik," katanya.
Fernandez berkata, adalah penting untuk merancang dan melaksanakan inisiatif perumahan mampu milik secara strategik bagi menyesuaikan dengan gaya hidup terkini, terutamanya di kawasan bandar berikutan terdapat peningkatan kebimbangan mengenai keadaan persekitaran kehidupan yang mampan.
Beliau juga berkata, responden bersedia untuk berkompromi dengan kemudahan tertentu bagi mendapatkan lebih banyak rumah mampu milik untuk memenuhi harapan kediaman impian mereka.
Beliau berkata, responden, terutamanya individu yang lebih tua dan penyewa, tidak kisah jika melepaskan kemudahan sepert gimnasium (49 peratus), taman permainan (46 peratus), trek joging/kawasan rekreasi (45 peratus) dan balkoni (43 peratus) jika ia menjadikan rumah tersebut lebih murah namun mereka tidak akan berkompromi terhadap kawasan meletak kenderaan, ruang dapur dan bilik mandi kedua.
Perubahan ini menunjukkan perubahan pilihan pengguna yang mengutamakan ruang yang lebih praktikal dan menjimatkan kos.
"Terdapat ruang untuk pengawal selia dan pemaju memainkan peranan dalam perkara ini, dengan mengetahui bahawa orang ramai sanggup melepaskan beberapa kemudahan tetapi bukan untuk kehidupan yang mampan," kata Fernandez.
Beliau berkata, terdapat penurunan permohonan pinjaman perumahan dan menjangkakan aktiviti urus niaga yang lebih perlahan untuk sepanjang tahun ini. Penurunan jualan (urus niaga) juga bermaksud akan berlaku peningkatan kadar sewaan.
"Jika orang tidak membeli, mereka akan menyewa," katanya.
Beliau berharap situasi ini akan stabil apabila ekonomi kembali pulih, sekali gus ini akan memulihkan permintaan hartanah pada 2024.
"Kami mengharapkan beberapa berita baik daripada dasar gaji progresif yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024. Ini mungkin sokongan yang diperlukan rakyat Malaysia untuk mereka memiliki rumah," kata Fernandez.
Mengulas mengenai kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang menyebabkan kos peminjaman yang lebih tinggi, beliau berkata 35 peratus daripada responden mencari hartanah yang lebih murah, 51 peratus merancang untuk lebih berjimat-cermat dan 23 peratus memilih untuk menangguhkan pembelian pertama mereka pada tahun depan.
"Ini menunjukkan kesediaan dalam kalangan pembeli berpotensi untuk mempertimbangkan jangkaan dan pilihan yang selari dengan kemampuan kewangan mereka," katanya.
Dengan kadar OPR pada tiga peratus dan inflasi berkurangan kepada dua peratus, beliau berkata, adalah tepat pada masanya kerajaan menjalankan kajian semula skim dan inisiatif perumahan semasa dan yang dicadangkan.
"Untuk membantu pengguna mengatasi kekangan pemilikan rumah pada masa kini, bantuan bersasar oleh kerajaan adalah penting bagi menangani cabaran ini dengan lebih berkesan.
"Kami ingin melihat apakah yang tersedia kepada bakal pembeli rumah dalam Belanjawan 2024," kata Fernandez.
Tinjauan itu dijalankan terhadap 1,000 responden mengenai isu berkaitan hartanah menerusi kaji selidik secara dalam talian.
Responden terdiri daripada gabungan kakitangan berkolar putih dan biru serta ahli perniagaan daripada segmen berpendapatan sederhana hingga tinggi (64 peratus) dan kumpulan berpendapatan rendah (34 peratus). - BERNAMA