Minat kendali jentera berat, ibu empat anak pilih pemandu bas sebagai kerjaya
Bernama
Mac 12, 2024 04:00 MYT
Mac 12, 2024 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Disebabkan terlalu minat mengendalikan jentera berat, Salfarina Muslim sanggup berdepan pelbagai rintangan bekerja di luar di bawah terik matahari semata-mata untuk bergelar "Kapten Bas Rapid KL".
Menyandang pekerjaan yang lebih didominasi golongan lelaki itu sejak lapan tahun lepas, Salfarina, 41, berkata, beliau akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik walaupun memandu bas jauh berbeza dengan pekerjaannya sebagai kerani sebelum ini.
"Oleh kerana terlampau minat (dengan jentera berat), saya jadikan ia sebagai motivasi. Pada awalnya memang agak takut tetapi lama kelamaan semakin baik, Alhamdulillah.
"Bagi saya wanita masa kini lebih terbuka dan tidak mudah mengalah, jika ada kesungguhan pasti boleh," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV baru-baru ini.
Berkongsi reaksi keluarga berhubung kerjaya pilihannya itu, ibu kepada empat cahaya mata berusia antara setahun dan 20 tahun itu mengakui suami, anak-anak serta keluarga banyak memberi galakan dan sokongan.
"Pada mulanya ibu tidak yakin dengan pilihan saya, namun selepas beberapa kali saya membawa ibu merasai sendiri pengalaman menaiki bas yang saya pandu dia semakin yakin," katanya menambah kerjaya sebagai pemandu bas turut mengubah karakternya menjadi seorang yang penyabar.
Menceritakan cabaran sepanjang bergelar pemandu bas, Salfarina berkat, beliau pernah diludah, dipekik dan dibaling botol oleh penumpang hingga terpaksa melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
"Kerja sebagai kapten bas ini menyeronokkan. Saya memilih kerjaya ini kerana minat, oleh itu saya perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan risiko. Selalunya, jika berdepan dengan situasi begini, saya cuba untuk kekal tenang," katanya.
Wanita itu turut bersyukur kerana sepanjang berkhidmat sebagai kapten bas, beliau tidak pernah didiskriminasi sebaliknya penumpang sering memberikan kata-kata semangat. - BERNAMA