Mimos akan terajui pembangunan kurikulum TVET
Bernama
Ogos 10, 2018 08:14 MYT
Ogos 10, 2018 08:14 MYT
Mimos Bhd dijangka menerajui pembangunan kurikulum Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kualiti program dan kebolehpasaran lepasan TVET untuk menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, Nurul Izzah Anwar berkata terdapat keperluan mendesak untuk memperbaiki program berkenaan bagi menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.
"Untuk kekal berdaya saing dalam Industri 4.0, kita memerlukan masa, pelaburan, kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak," kata anggota Parlimen Permatang Pauh itu selepas merasmikan Seminar Perindustrian Keempat (4IR): Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di ibu pejabat Mimos pada Khamis.
Seminar berkenaan bagi membantu para peserta lebih memahami mengenai hala tuju kerajaan, jangkaan industri dan keupayaan institusi berkaitan dengan TVET.
Nurul Izzah berkata kerajaan akan melihat industri dan institusi penyelidikan untuk menyertai atau mengetuai transformasi TVET.
Sesi town hall akan diadakan untuk membincangkan belanjawan dan pelan induk TVET, katanya dan memaklumkan bahawa peruntukan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) tahun ini telah dikurangkan kepada RM180 juta daripada RM300 juta pada tahun lepas.
Beliau berkata lebih banyak buruh mahir diperlukan, dan pada masa yang sama, pengangguran akibat automasi dan kecerdasan buatan, serta kebimbangan terhadap teknologi, perlu ditangani.
-- BERNAMA