Millennial, Gen Z tertekan namun kesedaran sosial meningkat - Kajian

Astro Awani
Julai 23, 2021 07:05 MYT
Kebimbangan kesihatan dan pengangguran mendahului senarai kebimbangan peribadi, dengan pandemik COVID-19 dilihat membawa kesedaran sosial. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Tinjauan Millennial dan Gen Z 2021 Deloitte, yang kini memasuki tahun ke-10, mendapati responden semakin memberi perhatian kepada isu-su penting seperti penglibatan politik, menyelaraskan perbelanjaan dan kerjaya serta mendorong perubahan pada masalah sosial yang dilihat penting bagi mereka.
Namun seperti juga tahun-tahun sebelum ini, generasi ini mengharapkan institusi seperti syarikat-syarikat besar dan kerajaan melakukan lebih banyak usaha ke arah penambahbaikan.
“Jelas bahawa generasi milenial dan Gen Z lebih gigih, lantang, dan cenderung untuk mempersoalkan sesuatu.
"Seiring dengan platform dalam talian dan media sosial, ini memberi mereka kemampuan dan kekuatan untuk berkongsi pendapat, mempengaruhi orang lain dan masyarakat, dan meningkatkan kewibawaan dengan cara baharu, ”kata Tan Hooi Beng, Talent Leader Deloitte Malaysia .
Tahun ini, kebimbangan kesihatan dan pengangguran mendahului senarai kebimbangan peribadi, dengan pandemik COVID-19 dilihat membawa lebih kesedaran sosial.
Di Malaysia, 44 peratus generasi millenial dan 37 peratus generasi Z merasa tertekan sepanjang masa, didorong faktor keluarga dan prospek pekerjaan.
Kira-kira satu pertiga daripada semua responden - 31 peratus generasi millenial dan 35 peratus generasi Z telah mengambil cuti kerana tekanan dan kegelisahan.
Walau bagaimanapun, hampir separuh kumpulan ini memberi alasan yang berbeza kepada majikan mereka, mungkin disebabkan oleh stigma berterusan mengenai kesihatan mental di tempat kerja.
Hanya 38 peratus generasi millenial dan 35 peratus generasi Z yang merasa cukup selesa untuk bercakap secara terbuka dengan majikan tentang hal membabitkan masalah mental.
Sebanyak 32 peratus generasi millenial dan 23 peratus generasi Z menyatakan bahawa majikan mereka mengambil tindakan dan langkah wajar untuk menyokong kesejahteraan mental dan fizikal.
Hanya 36 peratus generasi millenial dan 40 peratus generasi Z percaya keadaan kewangan peribadi mereka akan bertambah baik menjelang 2022.
Kesetiaan pekerjaan juga merosot sedikit daripada rekod tertinggi tahun lalu.
Lebih ramai generasi millenial dan generasi Z akan meninggalkan majikan mereka sekarang dalam masa dua tahun (masing-masing 36 peratus dan 53 peratus), jika berpeluang.
Menariknya, tahun ini menyaksikan isu alam sekitar juga mula menjadi fokus mereka.
Sejumlah 47 peratus generasi millenial dan 48 peratus generasi Z percaya lebih ramai akan memberi komitmen terhadap isu-isu alam sekitar dan perubahan cuaca. Ini merangkumi kitar semula, peningkatan penggunaan pengangkutan awam, kebiasaan amalan pemakanan dan perbelanjaan.
Laporan tahun ini membabitkan 14,655 generasi millenial dan 8,273 generasi Z (22,928 responden keseluruhan) menerusi tinjauan yang dilakukan secara dalam talian dari 8 Januari sehingga 18 Februari 2021.
Generasi millenial yang terbabit dalam kajian ini dilahirkan antara Januari 1983 dan Disember 1994, manakala responden generasi Z pula dilahirkan antara Januari 1995 hingga Disember 2003.
#millennial #COVID-19 #pandemik #kesihatan mental #Malaysia #media sosial #Generasi Z
;