Militan IS: Media sosial masih jadi medium utama rekrut ahli - Polis

Astro Awani
Mei 24, 2015 11:36 MYT
AYUB KHAN: Memang daripada segi media sosial ini kita menghadapi masalah besar untuk mengawal dan menyekatnya sebab kebanyakannya ada alternatif lain kalau disekat. -Gambar fail
Media sosial masih menjadi medium utama kumpulan militan IS memperluaskan ideologi keganasan seterusnya merekrut ahli baharu untuk menyertai kumpulan itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, kumpulan ini bijak menggunakan kecanggihan teknologi terkini biarpun cubaan menyekat kegiatan mereka giat dilakukan pihak berkuasa.
Tambah Ayub Khan, golongan ini mensasarkan golongan muda menerusi pelbagai cara, termasuk menggunakan Facebook dan medium sosial lain yang tidak disekat sehingga mereka terpedaya dan seterusnya menyertai IS.
“Memang daripada segi media sosial ini kita menghadapi masalah besar untuk mengawal dan menyekatnya sebab kebanyakannya ada alternatif lain kalau disekat,” kata Ayub Khan.
Kata Ayub Khan lagi, biarpun pelbagai tangkapan terhadap individu yang disyaki terlibat dengan IS ini dibuat, namun pihaknya percaya masih terdapat individu yang menyertai IS kerana terpengaruh dengan ideologi kumpulan terbabit.
Justeru, katanya, usaha membanteras dan memberi penerangan kepada masyarakat di negara ini perlu dilakukan secara berterusan.
Ujarnya, pendekatan yang dilakukan pihak berkuasa termasuk bekerjasama dengan jabatan agama di setiap negeri masing-masing dan memberi penerangan kepada masyarakat di masjid dan surau adalah langkah yang baik.
Ini kerana peranan yang dimainkan pihak polis lebih menjurus kepada penguatkuasaan dalam mengekang kegiatan tersebut.
“Kita berperang dengan ideologi, Mereka ini terpengaruh dengan ayat-ayat al Quran, hadis yang diselewengkan, yang disalah tafsir.
“Oleh itu, kita bergerak dengan Jabatan Agama sehingga ke peringkat masjid dan surau,” tambahnya.
Ayub Khan berkata, Kerajaan Malaysia bekerjasama rapat dengan pihak Interpol, namun terdapat kekangan daripada segi keselamatan yang menyebabkan pihak berkuasa sukar masuk ke negara bergolak itu ketika ini.
Tambahnya, setakat ini seramai 63 rakyat Malaysia dikenal pasti berada di Syria untuk menyertai beberapa kumpulan militan di sana.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ceramah umum berkaitan kumpulan militan IS di Masjid Kampung Rawa, di sini malam tadi.
#Ayub Khan #ideologi keganasan #media sosial #militan IS #rekrut ahli #terorisme
;