Militan IS Malaysia terlibat rakaman video sembelih tawanan perang
Hakim Rahman
Mac 4, 2015 18:11 MYT
Mac 4, 2015 18:11 MYT
Pembabitan rakyat malaysia dalam kumpulan militan Islamic State (IS) memasuki dimensi baru.
Ia selepas pendedahan rakaman video pembabitan rakyat negara ini dipercayai terlibat menyembelih tawanan perang di Syria.
Rakaman diperoleh Bahagian Risikan Anti Keganasan Polis Diraja Malaysia selepas ia dimuatnaik di laman Facebook anggota IS Malaysia pada 22 Februari lalu.
Video berdurasi 30 saat ini memaparkan aksi Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, 25 tahun berasal dari Melaka yang tiba di Syria 26Januari lalu bersama isterinya, Nor Mahmudah Ahmad.
Turut dikenalpasti adalah Mohd Faris Anuar, 20 tahun, individu yang merakam video ini berdasarkan pengecaman suara.
Manakala lelaki yang memegang kepala tawanan perang dipercayai warga Indonesia.
Video turut dimuatnaik bersama status, menyatakan bahawa ia sebagai pengajaran dan hukuman kepada sesiapa yang mengkhianati islam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan setakat ini 61 rakyat Malaysia sudah menyertai militan IS di Syria.
“Kita telah kenalpasti 61 warga Malaysia yang berada di Syria tetapi jumlah sebenar yang berada disana antara 70 hingga 80 orang,” katanya dalam sidang media di sini.
Sejak Februari 2013 hingga Mac lalu, 71 suspek militan IS ditangkap.
Tambah Ayob, Wanndy menyusup keluar dari negara ini kerana menggunakan pelbagai laluan bagi menyukarkan dia dikesan pihak berkuasa.
Dia menaiki kereta api dari Kuala Lumpur ke Bangkok, Thailand.
Sebaik tiba mereka mengambil penerbangan ke Moscow, Rusia dan seterusnya ke Istanbul, Turki.
Dari Istanbul, Wanndy dan isterinya menggunakan laluan darat untuk masuk ke Syria.