Militan Daish pasti akan cari tempat baru untuk bertapak - Hishammuddin

Hilal Azmi
Disember 17, 2016 17:00 MYT
Malaysia melahirkan kebimbangannya ke atas kemungkinan kumpulan militan Daish sedang cuba mengintai peluang untuk bertapak di sekitar negara ASEAN. - Foto Astro AWANI / Hilal Azmi
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan kebimbangannya ke atas kemungkinan kumpulan militan Daish sedang cuba mengintai peluang untuk bertapak di sekitar negara ASEAN.
Jelasnya, kerajaan menerusi perjanjian tiga hala bersama kerajaan Indonesia dan Filipina akan terus membuat pemantauan serta penguatkuasaan yang meliputi rondaan berpusat, rondaan bersama serta pemburuan penceroboh.
"Kerjasama di antara negara-negara adalah pada keadaan terbaik dan itu satu kelebihan ASEAN.
"Daish sedang terdesak dan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk bertapak di rantau ini, dengan niat untuk menubuhkan khilafah Islam.
"Ini termasuk warga kita sendiri yang ada di Iraq dan Syria, kalau di Aleppo selesai, mesti mereka perlu cari tempat baru untuk bertapak dan yang paling saya bimbang kalau mereka mengintai Laut Sulu, Selatan Mindanao atau lokasi lain di sekitar ASEAN," katanya selepas menghadiri Perbarisan Tamat Pengajian 2016 di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan drastik bagi menangani keganasan di Aleppo, Syria dan memastikan rakyatnya diberi keutamaan.
Beliau berkata masyarakat dunia juga perlu mengutuk kemusnahan di bandar itu yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Menurutnya, ketika beliau mempengerusikan perbahasan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC), beberapa resolusi mengenai Syria telah dikeluarkan dan beliau berharap ia tidak hanya tinggal sebagai resolusi.
#ahmad zahid #Aleppo #daish #Hishammuddin Hussein #Maktab Tentera Diraja #Syria #TPM
;