Miliki tiga MyKad, lelaki direman
Adie Sufian Zulkefli
Disember 10, 2021 16:35 MYT
Disember 10, 2021 16:35 MYT
KANGAR: Padah memiliki tiga kad pengenalan (MyKad) seorang lelaki direman dua hari.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar Suazira Mohd Surat di Mahkamah Kangar, hari ini bagi membantu polis melengkapkan siasatan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata, lelaki berusia 26 tahun yang juga penganggur itu ditahan di rumahnya di Kampung Sena Hujung, kira-kira jam 9.30 pagi Khamis sebelum suspek diminta menunjukkan pengenalan diri.
Katanya polis melakukan pemeriksaan terhadap suspek berhubung satu laporan yang dibuat berkaitan kejadian merosakkan harta benda awam di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar Rabu lalu serta beberapa jenayah lain.
Pemeriksaan lanjut ke atas suspek polis menemui tiga kad pengenalan orang lain di dalam poket sebelah kanan jaket yang dipakai oleh suspek.
Jelas Wari, kad pengenalan berkenaan adalah milik tiga lelaki berusia 21, 27 dan 34 tahun beralamat di Jalan Raja Syed Safii, Jalan Kilang Gula, Chuping dan Kampung Hutan Temin, Mata Ayer.
Katanya, siasatan awal mendapati kad pengenalan berkenaan dilaporkan hilang dari 2017 hingga tahun ini.
Suspek juga gagal memberikan keterangan yang munasabah ketika disoal berhubung tindakannya menyimpan kad pengenalan milik orang lain itu.
Kes disiasat mengikut Peraturan 25 (1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Peraturan 25 (1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.