Miliki pistol tiruan, Yusoff Rawther didakwa sekali lagi

Bernama
Oktober 9, 2024 14:45 MYT
Yusoff hari ini mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Mageswary. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan, bulan lepas.
Muhammed Yusoff Rawther, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Mageswary.
Tertuduh didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan itu di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Bukit Kiara, Brickfields di sini pada 9.25 pagi, 6 Sept lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan kepada tertuduh.
Peguam Nurmustanir Md Nor yang mewakili Muhammed Yusoff berkata sebelum ini anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Majistret berasingan di sini di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Memandangkan anak guam saya ada kes di bawah Seksyen 39B, maka jaminan tidak dibenarkan dan dia direman di Penjara Sungai Buloh. Oleh itu, saya tiada arahan untuk jaminan," kata peguam itu.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 12 Nov ini untuk sebutan semula kes.
Pada 12 Sept lepas, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
-- BERNAMA
#Yusoff Rawther #kes mahkamah #pistol tiruan #kes dadah #terkini
;