Miliki, jual walkie-talkie tidak diperakui MCMC, peniaga didenda RM14,000

Bernama
Mei 31, 2022 19:35 MYT
Hakim menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Wan Ying, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas wanita itu mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dihadapinya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang penjual alat komunikasi hari ini didenda berjumlah RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menjual dan memiliki 16 unit walkie-talkie yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Wan Ying, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas wanita itu mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dihadapinya.
Bagi pertuduhan pertama, Lee didenda RM4,000 atau enam bulan penjara kerana menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu dua unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S pada 11.33 pagi, 16 Jun 2020.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didenda RM10,000 atau enam bulan penjara kerana memiliki 16 unit walkie-talkie jenama sama yang tidak diperakui di bawah peraturan sama pada 11.15 pagi, 4 Okt 2021.
Lee melakukan kedua-dua perbuatan itu di Plaza Low Yat, Off Jalan Bukit Bintang, di sini dan didakwa mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan di mahkamah sama, sebuah syarikat dan pengarahnya masing-masing didenda RM12,000 dan RM5,000 atas dua pertuduhan memiliki dan menjual 28 unit kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui MCMC.
Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat Evpad TV Box (M) Sdn Bhd dan pengarahnya, Yap Kum Loong selaku OKS selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan tersebut dan memerintahkan OKS dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, sekiranya gagal membayar denda.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Syarikat Evpad TV Box dan Yap didakwa memiliki dan menjual kelengkapan komunikasi iaitu 28 unit TV Box jenama Evpad pelbagai model yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis syarikat Evpad TV Box di Wisma Menjalara, Bandar Menjalara, di sini, pada 9 Sept 2021 mengikut Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Jeffrey Wong yang mewakili OKS memohon hukuman berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja selain syarikat yang dimilikinya sudah tidak beroperasi.
"Anak guam saya masih dalam proses mencari pekerjaan untuk menyara keluarganya dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan," kata peguam itu.
Pegawai Pendakwa MCMC bagi kedua-dua kes berkenaan Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang konsisten dengan trend hukuman semasa.
-- BERNAMA
#walkie talkie #alat komunikasi #MCMC #denda #Mahkamah Sesyen #Lee Wan Ying
;