Miliki dadah: Buruh terlepas hukuman sebatan, tempoh penjara dikurangkan
Bernama
Ogos 6, 2021 06:16 MYT
Ogos 6, 2021 06:16 MYT
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan tempoh hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas seorang buruh kerana memiliki 152.5 gram methampetamine, dikurangkan kepada 12 tahun dari 14 tahun manakala hukuman 10 sebatan terhadapnya dibatalkan.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Baljit Singh Sidhu yang mewakili A Tanggavelu, 56, kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp.
Baljit berkata panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak, Datuk M Gunalan dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin sebulat suara bersetuju membenarkan rayuan perayu (Tanggavelu) untuk mengurangkan hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.
"Mahkamah membenarkan rayuan anak guam untuk mengurangkan hukuman itu antaranya atas alasan kebiasaannya hukuman untuk kesalahan itu adalah penjara 10 hingga 12 tahun dan mengikut Seksyen 289(c) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) 2007, umur 50 tahun ke atas tidak boleh dikenakan sebatan," kata peguam itu yang memaklumkan prosiding pada Jumaat turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal.
Peguam itu berkata pada awalnya anak guam beliau didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 , tetapi Mahkamah Tinggi Shah Alam menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 39A (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.
Pada 15 Jan 2019, Tanggavelu dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki 152.5 gram methampetamine di lampu isyarat berhampiran bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri di Persiaran Cyber Point Selatan, Cyberjaya di sini, pada pukul 12.05 tengah malam, 5 Mac 2018.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 5 Mac 2018.
-- BERNAMA
#Dadah
#hukuman dikurangkan
#Mahkamah Rayuan
#buruh
#terlepas sebatan
#penjara
#shah alam
#sebatan
#methampetamine
#batal