Miliki bom tangan, pekerja ladang lembu dipenjara 10 tahun dan sebatan

Shuhada Abdul Kadir
Februari 10, 2023 14:46 MYT
Tertuduh didapati bersalah memiliki sebutir bom tangan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang yang ditemui di dalam sebuah kereta bersama dua lagi rakannya. - Foto Astro AWANI
AYER KEROH: Seorang pekerja ladang ternakan lembu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan memiliki sebutir bom dan senjata tajam, empat tahun lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas P S Tamil Kumaran, 36, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati bersalah memiliki sebutir bom tangan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang yang ditemui di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios bersama dua lagi rakannya.
Kesalahan itu dilakukan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), di Serkam, kira-kira pukul 12.15 tengah hari, 24 Oktober 2019.
Justeru, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh juga didapati bersalah memiliki dua bilah parang dan dua batang kayu rotan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang di tempat, masa dan tarikh sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat.
Hakim Darmafikri dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dengan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.
Beliau turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu dari tarikh ditangkap pada 24 oktober 2019.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu di Penjara Sungai Buloh kerana tertuduh sedang menghadapi satu lagi pendakwaan kes bunuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Siva Shangari, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sheelan Arjunan.
#miliki bom tangan #pekerja ladang lembu #mahkamah sesyen ayer keroh #dipenjara
;