Miliki 23 parcel curi, penganggur didenda RM2,500
Sinar Harian
Disember 28, 2022 16:55 MYT
Disember 28, 2022 16:55 MYT
PETALING JAYA: Tindakan seorang penganggur memiliki barangan curi 23 parcel sebuah syarikat jualan dalam talian, membawa padah apabila dia didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Muhammad Nur Izwan Muhammad Nazir, 27, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapa.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki harta curi kepunyaan seorang penghantar barang berusia 26 tahun, bernilai RM465.49, yang telah dilaporkan hilang, di sebuah pangsapuri di Taman Petaling Utama, di sini pada jam 11 malam, 27 Januari lalu.
Dia dihukum bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, dia merayu agar dikurangkan hukuman dengan alasan insaf atas perbuatan yang dilakukan.
"Saya sedang menjalani hukuman penjara, jadi saya berharap hukuman itu berjalan serentak dengan kesalahan lalu," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
"Bagi makluman mahkamah, tertuduh telah dihukum penjara dua tahun bermula 8 Februari lalu dan dikenakan tiga sebatan, berhubung kesalahan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Mengikut fakta kes, sehari sebelum kejadian, mangsa ke suatu lokasi untuk menghantar 190 parcel milik pelanggan dengan menunggang motosikal.
Setelah menghantar sebahagian daripada bungkusan tersebut, dia mendapati 23 parcel yang diletakkan dalam sebuah beg telah dicuri.
Sejurus siasatan dilakukan, kesemua parcel yang hilang itu ditemui bersama tertuduh di sebuah rumah dan dia mengaku telah mencuri bungkusan terbabit.