Miliki 12 motosikal klasik, Chua sanggup berhabis wang demi minat
Bernama
Jun 3, 2024 10:00 MYT
Jun 3, 2024 10:00 MYT
MELAKA: Demi kepuasan peribadi, seorang pengumpul motosikal klasik sanggup menghabiskan wang hingga puluhan ribu ringgit untuk memenuhi minatnya sejak lebih 42 tahun lepas.
Hasilnya, Chua Jim Kheng kini memiliki 12 motosikal klasik pelbagai jenis, antaranya jenama BSA, Ariel, Norton, Honda dan Matchless serta Harley Davidson.
Malah, lelaki berusia 66 tahun itu turut memiliki Harley Davidson paling jarang ditemukan, iaitu Model X, generasi pertama enjin V-twin bagi jenis motosikal tersebut yang dikeluarkan pada 1920, dibeli dengan harga RM30,000 daripada seorang lelaki berbangsa Itali di Melbourne, Australia pada 1992.
"Pada ketika itu, lebih 70 peratus motosikal ini tidak lengkap dan terlalu banyak yang perlu dibaiki... saya mencari alat ganti motosikal ini di merata tempat termasuk di luar negara.
"Motosikal jenis ini sebenarnya lebih mudah diselenggara kerana tidak menggunakan tenaga elektrik dan bateri, tetapi lebih kepada sudut mekanikal dan hingga kini motosikal ini masih boleh digunakan," katanya yang diitemui pemberita di Program Konvoi Malaysia International Classic Bike Festival di Bandar Melaka di sini semalam.
Chua yang juga pesara askar wataniah, berkata minat seseorang tidak boleh diukur dengan wang ringgit, sebaliknya perlu dilihat pada masa dan usaha yang dikorbankan demi minatnya itu.
"Bagi saya memiliki motosikal lama ini adalah satu kepuasan... apabila kita mendengar deruan bunyi enjin, bukan pada kelajuan sesebuah motosikal itu," kata Presiden Persatuan Motosikal Klasik Melaka itu lagi.
"Berbanding dahulu, kini lebih mudah untuk membaiki motosikal klasik ini kerana alat ganti agak mudah diperoleh terutamanya dari luar negara yang dapat dibeli di laman e-dagang," katanya yang turut mengusahakan bengkel membaiki motosikal klasik.
-- BERNAMA