Mikroorganisma dimanfaat untuk bersihkan Sungai Penchala

Tan Su Lin
September 4, 2016 09:20 MYT
Sebagai percubaan,3,000 liter EM akan dimasukkan ke dalam Sungai Penchala dan melakukan pemantauan setiap minggu bagi melihat kesannya. - Foto Astro AWANI
Sungai Penchala yang dahulunya kotor bakal berubah wajah menerusi pendekatan bioteknologi yang mampu membersihkan sungai dengan kos yang rendah.
Dengan pengenalan mikroorganisma berkesan (EM) yang digerakkan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) Selangor, ia dijangka dapat menjernihkan semula air sungai yang keruh dan menyahbau sungai berkenaan dalam masa dua hingga tiga hari.
Menurut Pengasas Backyard Technologies, Mohd Pesal Idris @ Pak Faisal, produk keluaran syarikatnya, BioStar mengandungi mikroorganisma yang dapat menguraikan mendapan kotoran dalam sungai sekali gus melancarkan aliran sungai selain menjernihkan air sungainya.
"Fungsi utama mikroorganisma ini adalah ia menguraikan kotoran contohnya partikel dan logam-logam berat dalam sungai. Pada masa sama, proses itu akan memecahkan 'slug' atau cecair kotor yang pekat dan akhirnya benda yang menyekat laluan air itu akan hilang," katanya kepada Astro AWANI di Program River Ranger di Pusat Informasi Sungai Penchala, di sini, hari ini.
Pemantauan mingguan
Sebagai percubaan, JPS Selangor akan memasukkan 3,000 liter EM ke dalam Sungai Penchala dan melakukan pemantauan setiap minggu bagi melihat kesannya.
Pengarahnya, Hashim Osman berkata penggunaan EM dilihat lebih berkesan berbanding pendekatan bola lumpur atau mudball yang diguna pakai sebelum ini berikutan keadaan Sungai Penchala yang cetek.
Bola lumpur itu juga mengandungi mikroorganisma, dan diperbuat daripada bahan kitar semula, dicampur dengan lumpur dan dimampatkan menjadi bentuk bola.
"Bola lumpur juga berkesan menjernihkan semula sungai tetapi disebabkan aliran sungai perlahan jadi kesan bola lumpur itu mengambil masa lebih lama. Masalah Sungai Penchala ini adalah paras sungainya yang cetek dan ia juga berbau. Bagi EM, kita meletakkan ia terus ke dalam sungai dan ia akan terus bertindak balas," katanya.
Bagaimanapun ujar Hashim, ia memerlukan usaha berterusan dan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat bagi menjaga kebersihan sungai.
"Kita berharap Sungai Penchala dapat ditingkatkan daripada Kelas 3 kepada 2b. Namun kami mengharapkan penduduk setempat khususnya yang tinggal di sekitar Sungai Penchala agar tidak membuang sampah ke dalam kerana ia akan mencemarkan lagi sungai.
"Sekiranya ada nampak orang membuang sampah dalam sungai ini, tolong laporkan kepada kami," katanya.
Tambahnya kerja-kerja membersihkan Sungai Penchala akan dijalankan secara berterusan bagi memperbaiki tahap kualiti airnya kepada Kelas 3 kepada Kelas 2b menjelang akhir tahun hadapan.
#BioStar #kawalan kebersihan #kualiti air #mikroorganisma #Sungai Penchala