MIH Megatrends: Kesedaran rakyat, pemain industri tentang penjagaan kesihatan terus meningkat - KPJ Healthcare

Firdaus Azil
Oktober 27, 2024 18:50 MYT
Chin berkata, KPJ Healthcare akan mengangkat penjenamaan MIH Megatrends ke tahap lebih tinggi.
KUALA LUMPUR: Kehadiran lebih 5,000 pengunjung ke Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 di ibu negara, selain dua juta pengunjung penstriman langsung program MIH Live+ (MIH Live Plus), membuktikan peningkatan ketara kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, kehadiran orang ramai termasuk pemain industri kesihatan, pembuat polisi, ahli akademik, serta golongan pelajar yang tinggi ke program selama tiga hari bermula Jumaat itu, juga menunjukkan isu kesihatan adalah kritikal.
Dengan penyediaan platform untuk audiens yang pelbagai, beliau berkata, ia memberi ruang untuk perbincangan yang lebih mendalam tentang isu kesihatan, daripada kecerdasan buatan (AI) sehinggalah kepada inovasi digital kesihatan.
“Untuk penjagaan kesihatan, kita sedia maklum tidak semuanya boleh dipertanggungjawabkan kepada doktor atau hospital semata-mata, tetapi ia harus merangkumi keseluruhan komuniti dan menjadi tanggungjawab semua pihak. Sebab itu saya rasa program ini mendapat perhatian ramai pihak.
“Dan dengan platform ini juga, untuk pertama kalinya Kementerian Kesihatan Malaysia dan KPJ, melalui perkongsian awam dan swasta (PPP), kami bersama-sama membentangkan pelan bagaimana kita dapat meningkatkan standard penjagaan kesihatan kepada rakyat,” katanya lagi.
Chin berkata, jika langkah progresif berkaitan penjagaan kesihatan tidak dilaksanakan dengan segera, negara akan terus terbeban, tambahan lagi dengan status negara menghampiri penuaan, serta peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) di kalangan masyarakat.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI sempena hari terakhir MIH Megatrends 2024 anjuran KKM dengan kerjasama KPJ Healthcare, disokong oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sempena status Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Chin berkata, KPJ Healthcare akan mengangkat penjenamaan MIH Megatrends ke tahap yang lebih tinggi, bagi mewujudkan kesedaran yang lebih meluas tentang penjagaan kesihatan di kalangan negara-negara anggota.
Dalam pada itu Ketua Pembangunan Global, Mayo Clinic Platform, Amerika Syarikat, Dr Luqman Lawal berkata, golongan penyelidik inovasi serta penyedia penjagaan kesihatan yang ingin menyumbang ke arah perkembangan kesihatan digital, harus melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang terkini.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan golongan berkenaan akan berada di barisan hadapan dalam mencari penyelesaian untuk abad ke-21.
“Anda perlu benar-benar membiasakan diri dengan penerbitan yang ada, menghadiri persidangan di mana perkara-perkara ini dibincangkan, dan juga mendengar podcast untuk mendidik diri dan menyedari apa yang sedang berlaku.
“Terutama bagi penyedia penjagaan kesihatan, saya selalu mengatakan bahawa mereka yang tidak menggunakan AI adalah mereka yang akan kehilangan pekerjaan mereka.
"AI bukan di sini untuk mengambil pekerjaan kita, AI di sini untuk berkolaborasi dan bukannya bersaing. Ia akan menambah nilai kepada apa yang kita lakukan,” tegasnya lagi.
#MIH Megatrends 2024 #KPJ Healthcare #kecerdasan buatan #Kementerian Kesihatan Malaysia
;