MIH Megatrends 2024: Kerjasama MCMC dengan syarikat telekomunikasi galakkan pendigitalan sektor kesihatan

Khalis Khadir
Oktober 26, 2024 09:45 MYT
Menurut Zulkarnain, keluasan capaian Internet penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan mudah diakses terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
KUALA LUMPUR: Keterlibatan syarikat telekomunikasi dalam memperkasakan transformasi penjagaan kesihatan negara perlu ditambah baik untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan tidak ketinggalan dengan arus digital.
Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata, keluasan capaian Internet penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan mudah diakses terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Dari sudut pandang saya, rata-rata syarikat telekomunikasi tidak cukup agresif kerana banyak bidang belum diterokai dan kerana itu MCMC boleh dianggap terjun ke sektor kesihatan dan bawa mereka bersama dalam medan ini untuk membuka mata para inovator dalam isu kesihatan.
“Kita masih ada tiga peratus kawasan berpenduduk yang tidak mendapat capaian Internet dan ini bermaksud mereka tidak dapat menikmati perkhidmatan kesihatan seperti kita inginkan. Agenda ini jadi tumpuan kita kerana aspek sosial adalah keutamaan kami terutamanya membabitkan kumpulan rentan,” katanya ketika ditemu bual dalam Agenda AWANI pada Rabu.
Beliau menambah, peranan itu menjadi salah satu faktor MCMC terlibat dalam Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 bagi menggalakkan pendigitalan sektor kesihatan dan kualiti perkhidmatan lebih efektif kepada masyarakat.
“Menerusi MIH Megatrends 2024, kita juga bawakan semua pemain industri termasuk sektor perbankan kerana inovasi memerlukan pelaburan, justeru kita menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyediakan dana pendigitalan.
“Kita memerlukan penyelesaian yang kukuh kerana ia bukan hanya melibatkan pendigitalan hospital tetapi juga kesalinghubungan dengan klinik, farmasi serta seluruh rangkaian kesihatan,” ujarnya.
Zulkarnain menjelaskan, persidangan berkenaan yang bermula pada Jumaat sehingga 27 Oktober ini bukan hanya menekankan kepada kerjasama dengan syarikat mega, namun, turut meliputi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
Kerjasama ini memberikan peluang kepada pembangunan bakat inovasi tempatan untuk meneroka lebih banyak penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam sektor kesihatan agar wujud sistem pembiayaan kesihatan yang adil.
Beliau berharap kejayaan transformasi berkenaan dapat menjadikan Malaysia bukan hanya dikenali dalam sektor pelancongan kesihatan tetapi dikenali sebagai hab kesihatan global.
MIH Megatrends 2024 anjuran Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama KPJ Healthcare merupakan platform bagi pemain industri penjagaan kesihatan global, profesional dan pembuat dasar untuk membincangkan kemajuan teknologi terkini.
#MIH Megatrends #syarikat telekomunikasi #MCMC #perkhidmatan kesihatan
;