MIFF 2023 dijangka jana jualan RM4.88 bilion - Fadillah
Bernama
Mac 1, 2023 17:15 MYT
Mac 1, 2023 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2023 dijangka menjana jualan mencecah sehingga RM4.88 bilion semasa berlangsungnya pameran itu selama empat hari, bermula Rabu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata industri perabot telah menunjukkan reputasi dari segi kualiti dan kekuatannya, sekali gus membolehkannya menjadi pengeksport global ke lebih 160 negara di seluruh dunia.
“Industri ini sangat didorong oleh eksport, mencatatkan nilai eksport RM11.5 bilion pada 2022.
"Walaupun banyak industri telah terjejas secara negatif disebabkan pandemik COVID-19, pengeksport perabot Malaysia berjaya mencatatkan prestasi yang agak baik dengan eksport berjumlah RM10.64 bilion pada 2020 dan RM10.42 bilion pada 2021," katanya ketika berucap pada majlis perasmian acara MIFF 2023 di sini, pada Rabu.
Memetik laporan Global Industry Insight Inc pada September 2021, Fadillah berkata pasaran perabot kayu global dijangka mencecah US$550 bilion (US$1=RM4.49) menjelang 2027.
Beliau berkata ini bermakna terdapat peluang luas bagi pengeluar Malaysia untuk mendapatkan bahagian pasaran yang lebih besar, sekali gus meningkatkan rantaian nilai dengan membangunkan produk dan jenama mereka.
“Bagaimanapun, dengan kesan berlarutan daripada pandemik COVID-19 serta unjuran kelembapan ekonomi global pada 2023, perniagaan perlu melihat semula strategi masing-masing khususnya berkaitan dengan sumber dan perolehan bekalan.
"Pengeksport juga harus mempertimbang untuk meluaskan pasaran mereka serta meneroka sebarang peluang menjanjikan yang lebih dekat dengan negara sendiri, termasuk pasaran baharu muncul di Asia Tenggara, Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika," tambahnya.
Sementara itu, beliau berkata nilai eksport kayu dan produk kayu dijangka mencapai RM28 bilion menjelang 2025 dan RM32.8 bilion menjelang 2030.
Fadillah berkata kayu-kayan adalah antara lapan komoditi yang dikenal pasti di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2030 untuk ditransformasikan dalam cara yang lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran serta memastikan produk itu kekal sebagai pemacu kukuh untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Bagi mencapai matlamat ini, saya percaya perlu ada sinergi berterusan antara industri perabot dan kementerian serta agensinya seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Majlis Kayu-kayan Malaysia dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia.
"Sebagai pengeluar dan pengeksport utama produk kayu tropika, Malaysia telah melakukan usaha yang gigih untuk memastikan produk kayu kita diperoleh daripada hutan yang diurus secara mampan," katanya.
Setakat Januari 2023, sebanyak 37 unit pengurusan hutan meliputi kawasan seluas 5.81 juta hektar telah dianugerahkan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia, manakala 362 syarikat kayu telah dianugerahkan sijil Rantaian Jagaan.
Sementara itu, Fadillah turut menggesa peserta industri perabot supaya peka terhadap trend berbeza yang memenuhi pasaran yang berlainan.
"(Justeru) kita sebagai pengeluar perabot harus meneliti peluang merentas segmen pasaran yang berbeza untuk mencari peluang yang belum diterokai termasuk nilai tinggi, segmen premium khusus yang belum diterokai oleh beberapa pengeluar perabot besar-besaran," tambahnya.
#pertumbuhan ekonomi Malaysia
#Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia
#Kementerian Perladangan dan Komoditi
#ekonomi global