MIDF lancar program pembiayaan khusus untuk wanita
Bernama
Mac 8, 2024 21:59 MYT
Mac 8, 2024 21:59 MYT
KUALA LUMPUR: MIDF hari ini melancarkan pelan pembiayaan khusus untuk wanita - program Usahawan Wanita Berdikari PKS (M-WiSE) - yang disokong oleh MBSB Bank.
Pengerusi MBSB Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, inisiatif berkenaan adalah bukti komitmen kumpulan itu untuk merapatkan jurang jantina dalam pemilikan perniagaan dan menyokong pertumbuhan usahawan wanita.
"M-WiSE menjangkau penyelesaian kewangan konvensional; ia adalah pendekatan holistik yang bertujuan meningkatkan daya saing, kecekapan dan produktiviti PKS milik wanita.
"Strategi komprehensif di bawah M-WiSE, seperti peningkatan kebolehpasaran produk, pengembangan perniagaan dan penggunaan teknologi moden, direka untuk memperkasakan usahawan wanita agar berkembang maju dalam landskap perniagaan yang kompetitif hari ini," katanya semasa majlis pelancaran itu hari ini.
Menurut Wan Kamaruzaman, M-WiSE meliputi dua program utama - program bimbingan, iaitu MIDF akan menaja 10 perniagaan wanita mikro sebagai sebahagian daripada program GrowBiz SME Corp.
"Dengan melabur dalam pertumbuhan perniagaan ini, kami menyasarkan untuk memperkasa wanita dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mengharungi kerumitan dunia perniagaan," katanya.
Wan Kamaruzaman berkata di bawah inisiatif program pembiayaan, MIDF menawarkan pembiayaan kepada PKS wanita dengan penarafan SCORE tiga bintang dan ke atas, seperti yang dinilai oleh Penarafan Daya Saing PKS SME Corp bagi Peningkatan (SCORE).
"Dengan kadar pembiayaan serendah 3.0 peratus setahun dan tempoh yang fleksibel, program ini bertujuan menyediakan penyelesaian kewangan yang boleh diakses dan mampu milik untuk memacu pengembangan dan pembangunan perusahaan milik wanita," katanya.
-- BERNAMA