Microsoft anggar 8.5 juta komputer Windows terkesan masalah kemas kini Crowdstrike

Amanz
Julai 21, 2024 03:20 MYT
Microsoft menganggarkan sekitar 8.5 juta peranti Windows terkesan dengan kemas kini bermasalah Crowdstrike – iaitu kurang daripada 1% komputer Windows seluruh dunia.
PADA penghujung minggu lepas, salah satu perkara yang mengejutkan arena IT seluruh dunia adalah apabila satu kemas kini pada perisian sekuriti Crowdstrike membuatkan komputer Windows mengalami masalah – sekali gus menjejaskan operasi ratusan syarikat gergasi seluruh dunia.
Berkongsi mengenainya, Microsoft menganggarkan sekitar 8.5 juta peranti Windows terkesan dengan kemas kini bermasalah Crowdstrike – iaitu kurang daripada 1% komputer Windows seluruh dunia.
Namun, walaupun angkanya kecil, Microsoft menyatakan impak ekonomi yang dibawakan kesan daripadanya adalah sangat besar.
Hal ini adalah kerana pelbagai perusahaan besar yang menggunakan Crowdstrike sebagai perlindungan daripada serangan siber.
Microsoft turut menekankan yang mana walaupun Crowdstrike bukan merupakan penyelesaian mereka, namun Microsoft telah bekerjasama dengan mereka dalam membangunkan penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut, selain turut menggunakan ratusan jurutera Microsoft dan pakar dalam membantu memulihkan perkhidmatan yang tergendala disebabkan oleh Crowdstrike. -Amanz
#Microsoft #Crowdstrike #serangan siber #kemas kini bermasalah