Micro-Credential: Tambah ilmu baharu untuk kekal relevan dalam kerjaya
Prof Dr Azizul Halim Yahya
Januari 28, 2022 18:07 MYT
Januari 28, 2022 18:07 MYT
PANDEMIK COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu bukan sahaja menyebabkan krisis kepada kesihatan awam, tetapi sektor ekonomi dan pasaran buruh juga turut menerima impaknya.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran menurun kepada kadar terendah iaitu 4.3 peratus pada Oktober 2021 berbanding Mei 2020 yang merekodkan 5.3 peratus.
Bagaimanapun, angka ini masih tinggi jika hendak dibandingkan dengan kadar pengangguran yang dicatat pada 31 Disember 2019 yang merekodkan 3.2 peratus, ketika pandemik COVID-19 ini belum bermula.
Peluang pekerjaan yang terhad yang ditawarkan oleh majikan disebabkan ingin mengurangkan kos pengeluaran serta operasi antara faktor kepada peningkatan kadar pengangguran ini, selain daripada ketidaksejajaran bidang. Ini menyebabkan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan semakin tinggi.
Memasuki era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) yang berkembang pesat dengan penggunaan teknologi yang semakin radikal, kemahiran dan kompetensi dalam sesuatu pekerjaan juga semakin pelbagai dan spesifik. Sudah tentu, mereka yang mempunyai kemahiran dan kompetensi akan menjadi pilihan utama majikan.
Dalam hal ini, pengalaman kerja dan kekurangan kemahiran tertentu sering menjadi belenggu kepada individu termasuklah graduan dalam usaha mendapatkan pekerjaan.
Justeru, kita perlu bersiap-siaga dalam menghadapi impak pandemik COVID-19 atau sebarang krisis dalam era VUCA (Volatile-Uncertain-Complex-Ambiguous) dengan menentukan hala tuju dan perancangan terbaik terutamanya dalam sektor pendidikan, seiring dengan tuntutan baharu.
Ledakan globalisasi serta perkembangan dunia digital telah memaksa industri untuk terus berubah seiring dengan peredaran zaman. Para pekerja juga perlu berubah, tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan teknologi yang pesat. Di sinilah micro-credential berperanan menjadi nilai tambah kepada calon yang menjadi pilihan majikan atau kekal relevan dalam kerjaya.
Dalam usaha untuk melahirkan insan berpengetahuan, mempunyai nilai dan berkemahiran tinggi ini, UiTM melalui Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) telah mengorak langkah dengan memperkenalkan kursus micro-credential pada 15 Disember lalu yang dilancarkan oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Roziah Mohd Janor. Ini selaras dengan seruan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), yang mahukan Universiti Awam (UA) menjadi penyedia kursus jangka pendek berakreditasi 'micro-credential' bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Mungkin ramai yang pertama kali mendengar terma micro-credential dan ini soalan lazim yang sering dilontarkan “Apa itu micro-credential?”. Micro-credential adalah kursus-kursus daripada program yang telah mendapat akreditasi ditawarkan dalam unit pembelajaran yang lebih kecil. Ini bagi membolehkan para pelajar belajar dengan lebih fokus kepada topik atau unit pembelajaran mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka.
Dalam kata lain, ianya merupakan satu kaedah memperkasa kepakaran “upskilling” spesifik dan menutup jurang kemahiran “skill gap”. Dengan adanya kemahiran tambahan ini, ia akan memberi manfaat kepada golongan yang berkerjaya.
Sebagai contoh, wartawan yang selama ini hanya menulis berita boleh mengambil kursus micro-credential dengan mempelajari pengurusan media sosial atau sistem pemantauan media sosial. Mereka juga boleh mengambil kursus teknikal seperti kemahiran mengambil gambar dan video. Begitu juga dengan pekerjaan yang selama ini dilakukan secara bersemuka di pejabat, kini dibuat secara atas talian di rumah. Di sini pekerja boleh mengambil kursus “micro-credential in office software” untuk membantu melancarkan urusan kerja mereka di rumah.
Di iCEPS, terdapat 33 kursus micro-credential ditawarkan merangkumi modul teknikal seperti Fiber Optic Communication System dan juga modul yang berbentuk serba boleh atau “versatile” seperti Sanitizer Development.
iCEPS juga sedang bergerak ke arah memberi pengiktirafan kepada individu yang berjaya menamatkan micro-credential ini untuk peluang pemindahan kredit bagi pelajar atau individu yang belajar di Universiti Teknologi MARA.
Sistem pembelajaran yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat ini memberi penyelesaian kepada faktor kekangan masa untuk para profesional dalam apa jua bidang untuk meningkatkan tahap kompetensi dan kepakaran mereka.
Kita harus menerima realiti semasa bahawa micro-credential dan pembelajaran di atas talian merupakan norma baharu pendidikan masa kini yang dapat membantu kemampanan negara untuk terus menghasilkan tenaga kerja yang berdaya saing, kompetetif dan relevan.
UiTM Micro-Credential boleh diakses di laman sesawang https://ufuture.uitm.edu.my/micro-credential/
* Prof. Dr. Azizul Halim Yahya adalah Ketua Eksekutif, Institut Pendidikan Berterusan Dan Pengajian Profesional (iCEPS).
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.