MIC mula keluar borang untuk pemilihan
Bernama
Ogos 14, 2013 07:30 MYT
Ogos 14, 2013 07:30 MYT
MIC akan mula mengeluarkan borang pencalonan untuk pemilihan jawatan presiden mulai Khamis di ibu pejabat parti dan semua pejabat MIC negeri, kata setiausaha agungnya A. Sakthivel.
Beliau berkata keputusan mengeluarkan borang pencalonan itu diputuskan pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh presiden Datuk Seri G. Palanivel di sini pada Rabu.
Pencalonan untuk jawatan presiden ditetapkan pada 1 Sept (antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari) dan sekiranya ada pertandingan, tarikh pengundian ditetapkan pada 22 Sept ini.
Beliau berkata pemilihan presiden parti itu akan dikendalikan oleh tujuh anggota Jawatankuasa Pemilihan diketuai Speaker Tetap parti Tan Sri K. Kumaran.
Selain Sakthivel, lima anggota lain ialah Datuk Siva Paranjothi, seorang peguam, Datuk S.S. Rajagopal, ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), Datuk V. Jagarasah, bekas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves, Datuk S. Murugesan, bekas setiausaha agung MIC dan peguam M. Selva Kumar.
Selain pemilihan jawatan presiden pada September ini, MIC juga akan mengadakan pemilihan jawatan timbalan presiden, tiga jawatan naib presiden dan 23 anggota CWC pada November atau Disember ini.
Bagaimanapun, tarikh pemilihan masih belum ditetapkan.
Sakthivel berkata senarai pemilih akan dikeluarkan selepas semua cawangan melengkapkan mesyuarat tahunan masing-masing menjelang akhir bulan ini.
"Sekiranya adalah pertandingan, sejumlah 4,000 pengerusi cawangan akan mengundi untuk memilih presiden parti," katanya.
Sementara itu, Kumaran, dalam kenyataan, berkata calon presiden perlu menjadi seorang pengerusi cawangan dan perlu memperoleh 50 pencalonan dan setiap borang pencalonan mesti mempunyai seorang pencadang dan lima penyokong.
Katanya semua pencadang dan penyokong harus memegang jawatang pengerusi cawangan dan anggota CWC.
Kali terakhir MIC mengadakan pemilihan parti ialah pada 2009 yang menyaksikan Datuk Seri S. Samy Vellu menang jawatan presiden tanpa bertanding.
Palanivel, yang mengambil alih tampuk kepimpinan parti daripada Samy Vellu pada Disember 2010, pernah berkata bahawa beliau akan memegang jawatan itu untuk sepenggal lagi sekiranya dipilih mengetuai parti itu pada pemilihan kali ini.
Spekulasi bertiup kencang bahawa timbalan presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, mungkin akan mencabar Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Palanivel sebelum ini menyatakan beliau tidak mempunyai masalah sekiranya ada perebutan untuk jawatan tertinggi MIC itu manakala Dr Subramaniam masih belum menyatakan pendiriannya.