MIC kutuk keras insiden P. Kamalanathan ditumbuk

Bernama
Januari 14, 2014 07:36 MYT
P. Kamalanathan - Gambar Fail
MIC mengutuk keras tindakan seorang lelaki menyerang Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan, yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, Ahad lepas.
Presidennya Datuk Seri G. Palanivel berkata insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana tiada menteri atau timbalan menteri ditumbuk dalam sejarah negara ini.
"Saya sudah bercakap dengan Kamalanathan mengenai perkara ini. Ia tidak seharusnya berlaku dan saya tidak tahu kenapa ianya terjadi. Mungkin Kamalanathan bersetuju dengan permintaan lelaki itu untuk seorang guru ditukarkan.
"Bagaimanapun, saya akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok dan membincangkan insiden ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan 'Pongal' di Little India, Brickfields, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden seorang lelaki menumbuk Ahli Parlimen Hulu Selangor itu di pejabat pusat khidmat ahli parlimen itu di Bukit Beruntung, Rawang, Ahad lalu.
Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata ahli MIC telah membuat beberapa laporan polis berhubung kejadian itu dan berharap polis akan mengambil tindakan terhadap lelaki itu.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam pula meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap pelaku bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berulang.
"Dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran, kita tidak boleh sentiasa menunaikan semua permintaan orang ramai. Jika kita membiarkan sebarang bentuk ugutan menjejaskan tugas kita, maka ini akan mendorong kepada wujudnya sebuah masyarakat yang tidak menghormati undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam perkembangan lain, Palanivel berkata sempena Thaipusam, Jumaat ini, MIC akan mengedarkan 50,000 bungkusan air minuman dan snek kepada penganut Hindu di luar perkarangan ibu pejabat MIC di sini pada awal pagi Khamis ini.
"Perarakan kereta berhala dari kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee ke Batu Caves akan bermula pukul 12 tengah malam dan dijangka melalui depan ibu pejabat MIC antara pukul 2 dan 4 pagi pada hari tersebut," katanya.
#kamalanathan #MIC #Palanivel #tumbuk
;