MIC bercadang adakan pemilihan semula - Palanivel

Bernama
Jun 20, 2015 22:06 MYT
MIC bercadang mengadakan pemilihan semula jawatan dari peringkat cawangan hingga presiden sebelum akhir tahun ini.
MIC bercadang mengadakan pemilihan semula jawatan dari peringkat cawangan hingga presiden sebelum akhir tahun ini, kata Presidennya Datuk Seri G. Palanivel.
Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, bagaimanapun berkata perkara itu belum muktmad memandangkan rayuannya untuk membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar MIC mengadakan pemilihan semula, masih belum diputuskan mahkamah.
"Ia hanya suatu cadangan kerana kami perlu membuat beberapa pertimbangan lain juga," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan 2,760 anggota cawangan parti itu di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau berkata, langkah pertama ialah menubuhkan sebuah jawatankuasa undang-undang dan audit bebas antara Ogos dan September tahun ini yang bertanggungjawab mengendalikan pemilihan semula itu.
Bagaimanapun, katanya, majoriti anggota jawatankuasa berkenaan ialah daripada MIC.
#G. Palanivel #MIC
;