MIC bangkit semula mengancam masa depan PH

Datuk M Periasamy
Jun 4, 2019 07:31 MYT
MIC mencontohi UMNO yang berani melakukan tindakan strategik untuk kekal sebagai parti yang memperjuangkan hak kepentingan kaum Melayu.
MIC yang berusia 73 tahun dikesan semakin hari semakin hilang sokongan daripada masyarakat India.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan jelas menunjukkan sokongan pengundi India beralih menyokong parti lawan.
Persepsi masyarakat India di akar umbi terhadap kepimpinan MIC, terutamanya kepimpinan di peringkat negeri dan bahagian dikatakan antara faktor yang menyebabkan kemerosotan sokongan terhadap MIC.
Kelemahan pihak kepimpinan atasan 'mengurus' persepsi masyarakat India terhadap kepimpinan MIC terutamanya kepimpinan peringkat negeri dan bahagian dikesan menjauhkan masyarakat India daripada MIC.
Namun, sejak MIC diambilalih oleh kepimpinan baharu, MIC dilihat berbangkit semula untuk menjadi sebuah parti politik membela kepentingan kaum India seperti dahulu kala.
Kepimpinan baru MIC didapati lebih peka terhadap persepsi masyakat India malah terhadap perubahan cita rasa masyarakat India secara umumya dan golongan muda secara khususnya dalam usaha memulihkan imej dan kekuatan MIC.
MIC mencontohi UMNO yang berani melakukan tindakan strategik untuk kekal sebagai parti yang masih relevan bagi memperjuangkan hak kepentingan kaum Melayu.
UMNO yang amat sedar terhadap perubahan geo-politik semasa sedang merangka strategi untuk memulihkan kekuatannya.
UMNO sedar bahawa pertembungan antara dua parti terbesar yang mewakili kaum Melayu, iaitu UMNO dan Pas bukan sahaja merugikan kedua-dua parti tetapi mengancam kepentingan kaum Melayu.
Keputusan PRU14 menunjukkan pertembungan calon UMNO dan Pas telah menyebabkan hampir tiga puluh kerusi parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) di semenanjung terjatuh kepada tangan Pakatan Harapan (PH).
Malah permusuhan antara UMNO dan Pas telah menyebabkan beberapa negeri, kecuali Pulau Pinang dan Selangor turut dikuasai oleh PH.
Sehubungan ini, antara strategi yang diterapkan oleh UMNO untuk merampas semula kerusi-kerusi yang hilang kepada PH adalah dengan bekerjasama dengan parti Pas.
Kerjasama antara UMNO dan Pas telah terbukti membawa keuntungan kepada BN di mana BN dapat memenangi tiga pilihan raya kecil (PRK) iaitu Cameron Highlands, DUN Semenyih dan DUN Rantau dengan hebatnya.
Sekiranya kerajasama antara UMNO dan Pas diteruskan pada masa hadapan maka BN berpeluang memenangi lebih daripada 132 kerusi Parlimen yang terletak majoriti pengundi Melayu.
Kerjasama UMNO dan Pas juga akan membantu BN menawan semula beberapa negeri. Mengambil kira perubahan geo-politik ini, kepimpinan MIC didapati mencontohi UMNO dalam merangka strategi tersendiri untuk mengukuhkan parti dengan pelbagai kaedah. Antaranya menjalin hubungan baik dengan Pas.
Selain itu, Presiden MIC juga umumkan baru-baru ini bahawa beberapa pemimpin parti politik yang kononnya mewakili kepentingan kaum India akan memasuki MIC.
Antara pemimpin yang diuar-uarkan memasuki semula MIC adalah Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), sebuah parti serpihan MIC dan Bekas Timbalan Presiden Gerakan, sebuah parti komponan BN.
Langkah presiden MIC yang memasukkan pemimpin parti-parti tersebut dalam MIC menimbulkan reaksi yang bercampur-campur.
Antaranya, ada pihak yang menyokong dan mengalu-alukan langkah presiden MIC sebagai satu langkah yang bijak ke arah menguatkan MIC.
Namun, ada pihak yang tidak begitu ghairah malah menzahirkan pendapat bahawa langkah tersebut tidak akan banyak menguntungkan MIC seperti UMNO memperolehinya daripada penjalinan kerjasama dengan Pas.
Langkah UMNO bekerjasama dengan Pas telah terbukti meningkatkan sokongan pengundi Melayu kepada UMNO dan BN dalam tiga PRK baru-baru ini.
Malah, ada pihak yang mendakwa kononnya kedua-dua pemimpin parti politik yang memasuki MIC adalah daripada parti yang semakin hilang pengaruhnya di kalangan masyarakat India malah dijangka akan lenyap daripada landskap politik Malaysia tidak lama lagi.
Selain itu, kedua-dua parti tersebut adalah parti mesra BN. Jadi, persoalanya, apaklah penyertaan pemimpin-pemimpin tersebut dalam MIC akan mendatangkan peningkatan dalam sokongan masyarakat India kepada MIC?
Apapun, masyarakat India harus menyokong presiden baru MIC, Senator Tan Sri S.Vikneswaran yang sedang mengambil pelbagai initiatif ke arah rekayasa MIC supaya MIC bukan sahaja lebih kuat untuk menghadapi cabaran masa hadapan dalam membela kepentingan hak kaum India, malah terus kekal relevan dalam arena politik Malaysia.

* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Barisan Nasional #Cameron Highlands #GERAKAN #India #MIC #Pakatan Harapan #PAS #PRU14 #Semenyih #UMNO
;