MiACES 2022: Kerajaan sasar jana RM300 bilion nilai eksport - PM
Fareez Azman
Julai 26, 2022 12:29 MYT
Julai 26, 2022 12:29 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan penjanaan RM300 bilion nilai eksport menerusi Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MiACES) 2022 yang bermula hari ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ekspo buat pertama kali diadakan di Asia itu bakal melibatkan pemegang taruh serta pakar dalam bidang agrikomoditi.
"Kerajaan menyasar MiACES 2022 mampu menjana lebih RM300 bilion nilai eksport, sekali gus menjadi platfom terbaik untuk penggiat industri agrikomoditi tempatan mengembangkan eksport produk ke pasaran baharu.
"Ini kerana ekspo ini juga akan dihadiri oleh pengeluar hasil, inovator, pelaburan serta pengeksport dan pengimport hingga kepada penggubal dasar, penyelidik dan ahli akademik dari 39 buah negara," jelasnya.
Tambah Ismail, beliau yakin MiACES 2022 merupakan satu langkah terbaik dalam menghubungkan pengiat industri ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Dari sudut peluang pekerjaan pula ujar Ismail Sabri, hampir satu juta pekerjaan berjaya disediakan kepada Keluarga Malaysia di peringkat huluan.
"Sektor Agrikomoditi menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta Keluarga Malaysia di peringkat
huluan, meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat terutamanya pekebun kecil dan masyarakat di luar bandar sejak berdekad yang lalu.
"Kerajaan sangat komited dalam usaha memacu pembangunan sektor agrikomoditi agar lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara," jelasnya lagi.
Ismail berkata demikian ketika melancarkan MiACES 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara pada Selasa.
Turut menyaksikan perasmian, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Berlangsung selama tiga hari, MiACES 2022 bakal menampilkan penglibatan inovator, pelabur dan pengeluar hasil agrikomoditi dari 39 buah negara.