Mi segera, telur jadi ruji golongan B40 di PPR sepanjang PKP - UNICEF, UNFPA

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 24, 2020 15:00 MYT
Tinjauan itu sekali gus memberi cerminan bahawa mi segera adalah makanan ruji yang mana perbelanjaannya hampir sama dengan pembelian beras. - Gambar hiasan Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Telur dan mi segera. Itu adalah dua makanan ruji buat keluarga yang tinggal di beberapa buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur.
Realiti kehidupan ini direkodkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menerusi laporan Families on the Edge - Siri Ogos 2020.
Ia hasil temu bual dan tinjauan dilakukan mereka sejak Disember 2019 hingga berakhirnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei lalu.
Menerusi kajian itu, 52 peratus daripada 500 ketua keluarga yang ditemui akui telur merupakan antara keperluan makanan yang sering dibeli oleh mereka.
Beras pula menjadi keperluan kedua yang sering dibelanjakan oleh ketua keluarga iaitu sekitar 41 peratus.
Ia diikuti dengan mi segera, iaitu 40 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan.
Tinjauan itu sekaligus memberi cerminan bahawa mi segera adalah makanan ruji yang mana perbelanjaannya hampir sama dengan pembelian beras.
UNICEF dan UNFPA turut mendapati pembelian buah-buahan - antara indikator makanan berkhasiat - berada pada kadar yang rendah di mana 40 peratus ketua keluarga membelinya dengan jumlah yang sikit.
Soal makanan ruji itu selari dengan jumlah simpanan kewangan yang dimiliki mereka yang mana majoritinya hanya punyai simpanan yang mampu menampung keluarga mereka kurang dari sebulan.
Hanya 50 peratus wanita yang menjadi ketua keluarga akui simpanan kewangan mereka kurang dari sebulan.
33 peratus ketua keluarga juga akui simpanan kewangan mereka hanya mampu menampung perbelanjaan untuk sebulan sahaja.
#belanja makanan isi rumah #Kuala Lumpur #miskin bandar #Perbelanjaan B40 #perintah kawalan pergerakan #PKP #PPR #UNFPA #UNICEF
;