MHS Echo dari UK sertai pencarian MH370

Bernama
Mac 21, 2014 18:25 MYT
Kapal peninjau pelbagai fungsi HMS Echo milik United Kingdom (UK) kini dalam perjalanan ke selatan Lautan Hindi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370.
Suruhanjaya Tinggi British dalam kenyataan di sini hari ini, berkata pengerahan kapal itu yang boleh menyokong operasi kapal selam dan amfibia adalah susulan tawaran bantuan daripada Perdana Menteri Britain David Cameron kepada rakan sejawatannya Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi perbualan telefon pada Selasa lepas.
"UK sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dan Australia sejak kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac dan telah menawarkan bantuan tambahan," kata jurucakap Kementerian Luar UK dalam kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, setakat ini UK sudah menghantar dua wakil dari Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) yang disokong oleh penasihat Rolls-Royce dan Inmarsat.
Beberapa pakar antaranya dari Kementerian Pertahanan serta Jabatan Hidrografik sedang meneliti data laut, cuaca dan satelit bersama-sama pihak berkuasa Malaysia bagi mengesan pesawat itu, kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu sebuah kapal peronda perikanan juga terbabit dalam operasi di sekitar perairan wilayah British di Lautan Hindi, manakala polis UK serta pihak berkuasa berkaitan membantu memeriksa manifes mereka yang dilapor menaiki MH370.
#Boeing 777-200 #MH370 #MHS Echo #penerbangan Malaysia
;