MH725 Kuala Lumpur - Jakarta alami kerosakan tayar ketika mendarat
Astro Awani
Jun 13, 2017 00:17 MYT
Jun 13, 2017 00:17 MYT
Pesawat MH725 dari Kuala Lumpur ke Jakarta mengalami kerosakan tayar ketika mendarat di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta dalam hujan lebat petang Selasa.
Kejadian tersebut disahkan syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines menerusi satu kenyataan di Facebook pada Selasa malam.
Katanya, semua penumpang dan anak kapal berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Menurutnya, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa lapangan terbang di Indonesia itu bagi membantu memastikan kebajikan penumpang dan anak kapal terjaga.
Sementara itu, Malaysia Airlines berkata, penerbangan balik dengan MH724 dari Jakarta ke Kuala Lumpur yang dijadual berlepas pada 7:50 malam Selasa kini dibatalkan.
"Penumpang yang terlibat akan diberikan penerbangan yang lain. Penumpang dinasihatkan menyemak laman web www.malaysiaairlines.com untuk maklumat lanjut atau menghubungi pusat panggilan di 1 300 88 3000."
Malaysia Airlines juga memohon maaf susulan kesusahan dan kelewatan yang dialami penumpang akibat kejadian itu.