MH370: Wakil tertinggi Malaysia berlepas ke Beijing malam ini - Hishammuddin
Astro Awani
Mac 20, 2014 18:44 MYT
Mac 20, 2014 18:44 MYT
Wakil tertinggi kerajaan Malaysia akan berlepas ke Beijing malam ini bagi memberi taklimat dan maklumat terkini mengenai usaha mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kepada keluarga mangsa.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ia selaras dengan apa yang diumumkan beliau pada Rabu.
"Saya juga ingin mengesahkan wakil dari kerajaan Malaysia sudah bercakap kepada keluarga penumpang MH370 yang berada di sini semalam," katanya pada sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, wakil khas Perdana Menteri ke China dan Duta China ke Malaysia akan mengetuai taklimat kepada keluarga penumpang warga China yang berada di Kuala Lumpur ketika ini.
Pada Rabu, Hishammuddin mengumumkan Malaysia akan menghantar wakil tertinggi ke Beijing yang diwakili wakil-wakil Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines (MAS).
Katanya, pasukan itu akan diketuai oleh Komander Operasi Udara TUDM, Leftenan-Jeneral Datuk Seri Ackbal Haji Abdul Samad dan dibantu oleh Pengarah DCA, Ahmad Nizar Zolfakar serta seorang juruterbang kanan Boeing 777.
Laporan lanjut sidang media hari ke 13: