MH370: Usaha mencari dijangka disambung semula bergantung kepada cuaca - JACC
Bernama
Februari 24, 2016 20:35 MYT
Februari 24, 2016 20:35 MYT
Bergantung kepada cuaca, satu daripada kapal yang menjalankan misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, dijangka menyambung semula operasi mencari pada Khamis selepas mengalami beberapa masalah berhubung pemasangan kenderaan sonar tunda "towfish".
Dalam satu kenyataan hari ini, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Kerajaan Australia berkata Fugro Discovery yang meninggalkan Pelabuhan Fremantle selepas pemeriksaan rapi akan menyertai Fugro Equator dan Havila Harmony di kawasan pencarian.
Kenderaan sonar itu dilaporkan hilang selepas bertembung dengan gunung berapi berlumpur setinggi 2,200 meter pada 25 Jan, menyebabkan kabel kenderaan tunda itu terputus dan kabel sepanjang 4.5 kilometer terjatuh di dasar laut.
Ia kemudian dijumpai oleh Havila Harmony dan kabel baharu dipasang pada Fugro Discovery.
JACC berkata sebuah lagi kapal, Dong Hai Jiu 101 dijangka tiba di kawasan pencarian pada Khamis, setelah berlepas dari Pelabuhan Fremantle.
Lebih 85,000 kilometer persegi daripada kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi telah diliputi setakat ini dalam misi pencarian, kata kenyataan itu.
Pesawat Malaysia Airlines itu bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang dari imbasan radar semasa dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014.
Penerbangan terakhir pesawat malang itu dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi.