MH370: Usah terus menghukum Kapten Zaharie - Kakak
Khairunnisa Kasnoon
Mac 3, 2016 07:43 MYT
Mac 3, 2016 07:43 MYT
"Dua tahun berlalu, derita hanya kami yang tanggung. Usahlah terus menghukum adik saya atas kesalahan yang belum pasti dia lakukan," luah Sakinab Shah kepada The Associated Press dalam temu bual eksklusifnya.
Sakinab, 72, merupakan kakak sulung kepada Juruterbang Kanan pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah yang dituduh sebagai seorang jihad, mempunyai masalah dalam perkahwinan dan atas sebab-sebab politik, mendorong Zaharie menjatuhkan pesawat malag berkenaan.
Dia sebaliknya menceritakan, Zaharie seorang yang baik hati dan ceria.
"Tiada apa yang nyata dan membuktikan dia (Kapten Zaharie) bersalah. Ia sama seperti menjangkakan dia bersalah sehingga dia dibuktikan tidak bersalah," katanya.
Jelas Sakinab, teori-teori yang dibuat bukan dapat membetulkan keadaan, tetapi ia hanya menambah duka kepada keluarganya.
"Pada kami, ia menambah duka dan perasaan sedih kami. Kami bersedih atas kehilangannya dan kami perlu bersabar dengan semua tuduhan yang teori-teori yang dibuat, " ujarnya lagi.
Meskipun pelbagai tohmahan dilemparkan, namun hasil siasatan mendapati tiada bukti yang menunjukkan kehilangan pesawat itu mempunyai kaitan dengan Zaharie mahupun pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid melakukan sebarang kesalahan.
Sejak pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang dari radar pada 8 Mac 2014, hanya laporan serpihan yang mendakwa ia milik pesawat malang berkenaan ditemui.
Setakat ini, hanya flaperon pesawat berkenaan disahkan ditemui di Pulau Reunion, Perancis pada akhir Julai lalu.
Namun, ia tidak mampu meredakan kesedihan keluarga mangsa yang terlibat.
Malah salah seorang kakaknya terpaksa ditahan wad bulan lalu selepas mendengar spekulasi yang mengatakan Zaharie telah dijumpai dan sedang dirawat di sebuah hospitak di Taiwan.
Meskipun setakat ini belum ada sebarang kesahihan mengenai tragedi berkenan, keluarga Sakinab redha dengan apa yang berlaku.
Bagaimanapun, pihak bertanggungjawab perlu meletakkan noktah kepada penantian yang cukup memeritkan mereka.
"Sukar. Walapupun perit kami belajar untuk menerima apa yang terjadi. Kami terima apa yang terjadi. Tapi walau apapun, ia adalah hak kami untuk menuntut pengakhiran kisah ini. Kami mahukan pengakhiran. Kami mahu kes ini ditutup. Kami terpaksa bersedih dan berduka dalam mencari pengakhiran cerita ini," luahnya lagi.
Pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu disahkan berakhir di Lautan Hindi.
Sehingga kini, usaha pencarian diteruskan membabitkan Malaysia, Australia dan China melibatkan kos US$130 juta (RM550 juta).