MH370: "Tiada bukti pesawat ditembak jatuh dari Diego Garcia"

Aizat Sharif
Mac 14, 2014 14:53 MYT
Tiada bukti sahih dan kukuh yang mengatakan bahawa pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak Sabtu lalu berkemungkinan ditembak jatuh oleh sebuah pengkalan tentera Amerika Syarikat di Lautan Hindi.
Mantan juruterbang berpengalaman, Datuk (Kapt) Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata walaupun Lautan Hindi adalah satu kawasan laut yang paling bergelora dan sunyi, terdapat sebuah pulau terumbu karang yang bernama Diego Garcia.
“Saya pernah menguruskan satu penerbangan sewa ke Diego Garcia dan di pulau tersebut terdapat terdapat satu pengkalan tentera Amerika Syarikat yang berada di pulau tersebut. Maknanya di sini adalah, terdapat juga kelengkapan radar yang mampu mengesan kehadiran sebarang pesawat yang melalui kawasan tersebut,” kata Nik Ahmad Huzlan ketika dihubungi Astro Awani.
“Namun begitu, adalah tipis dan jauh sama sekali untuk mengatakan bahawa pesawat MH370 itu ditembak jatuh kerana Diego Garcia adalah sebuah pulau yang bukannya sensitif dan pangakalan tentera yang ada di situ juga bukanlah ancaman kepada sesiapa pun.”.
Tambahnya lagi, “petunjuk” yang mendakwa pesawat tersebut mungkin terbang menuju ke Lautan Hindi adalah apabila laporan dari radar Tentera Malaysia yang menyatakan bahawa pesawat tersebut terbang di ketinggian 29,500 kaki di sekitar kawasan Pulau Perak pada jam 2.15 pagi Sabtu lalu.
“Itu merupakan titik terakhir pesawat tersebut yang dikesan sebelum hilang,”.
Melalui data yang diperoleh itu, maka pihak Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) telah menyalurkan maklumat dan sokongan tersebut tersebut kepada Tentera Amerika Syarikat yang kemudiannya menggerakan asset-aset ketenteraannya dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat tersebut.
“Jika pihak Amerika Syarikat juga telah mendapati terdapat ‘indikasi’ bahawa pesawat tersebut mungkin jatuh sekitar Lautan Hindi dan radar dari Diego Garcia juga ada mengesannya, maka mereka akan memulakan fasa ‘kuning’ pencarian pesawat tersebut,” katanya lagi
Beliau turut menegaskan seandainya terdapat ‘alert’ atau tanda dimana pesawat yang tidak dikenali itu memasuki ruang udara di sekitar Diego Garcia, berkemungkinan mereka tidak akan menceritakan tentang perkara itu kepada sesiapa.
“Namun, sehingga setakat ini tiada tanda tersebut,”.
Awal pagi ini, Pentagon mendedahkan bahawa ada “petunjuk” pesawat MH370 itu mungkin terhempas di Lautan Hindi dan Amerika Syarikat sedang menggerakkan asset ketenteraan mereka seperti kapal USS Kid ke kawasan tersebut untuk mencarinya.
#Diego Garcia #ditembak jatuh #Malaysia #MH370
;