MH370: Siasatan ke atas penumpang dan anak kapal adalah prosedur biasa

Astro Awani
Mac 16, 2014 18:02 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan semalam, pesawat telah sengaja dipesongkan daripada laluan penerbangan selepas ia jatuh dari radar.
Dalam pengumuman itu lagi, beliau berkata, satelit telah mengesan pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 untuk beberapa jam selepas itu dan kebarangkalian berlakunya rampasan atau aktiviti jenayah dari juruterbang atau anak kapal disiasat.
Pemeriksaan teliti telah dibuat ke atas dua juruterbang yang terlibat.
Jurutera yang mungkin mempunyai hubungan dengan kehilangan pesawat MH370 juga telah termasuk dalam siasatan.
"Itu adalah satu prosedur biasa, Polis Diraja Malaysia akan menyiasat semua anak-anak kapal dan penumpang MH370 termasuk jurutera" kata pihak Kementerian Pengangkutan.
Najib berkata berdasarkan maklumat satelit terbaru, Aircraft Communications Addressing and Reporting System (ACARS) telah dimatikan sebelum pesawat sampai ke Pantai Timur,
Operasi mencari dan menyelamat MH370 akan terus menjadi usaha sama dari berbilang negara yang diketuai oleh Malaysia.
Sehingga hari ini,14 negara, 43 kapal dan 58 pesawat yang terlibat dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata pegawai Malaysia ada menghubungi negara-negara di sepanjang koridor utara dan selatan untuk memohon bantuan mereka dalam mencari pesawat MH370.
Negara tersebut adalah Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, China , Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Australia dan Perancis.
Selain itu, pihak berkuasa berhubung dengan pegawai-pegawai negara-negara tersebut dalam membincangkan cara terbaik untuk menggunakan aset di sepanjang dua koridor yang disebut oleh Perdana Menteri semalam.
India berkata pada hari Ahad, negaranya telah menghentikan carian di sekitar Andaman, Pulau Nicobar dan di Teluk Bengal.
India sekarang sedang menunggu arahan seterusnya dari Malaysia.
Kementerian Pengangkutan turut memaklumkan bahawa Malaysia akan memohon bantuan lanjut dari segi data satelit dan analisis, keupayaan tanah - carian, data radar dan aset maritim serta udara.
Ia berkata kedua-dua koridor utara dan selatan sedang dipantau dengan teliti.
#MH370 #Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) #Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak #Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS)
;