MH370: "Saya ibu kandung Khairul Amri"
Khairunnisa Kasnoon
Mac 23, 2014 07:40 MYT
Mac 23, 2014 07:40 MYT
Disebalik kerisauan dan debaran menanti kepulangan insan tersayang, ada pihak didakwa cuba mengambil kesempatan.
Tidak tahan mendengar dakwaan itu, Normah Jaafar tampil membuat penjelasan.
Normah, 56 tahun, merupakan ibu kandung kepada Mohd Khairul Amri Selamat, 29 tahun, salah seorang penumpang MH370 yang masih hilang.
Jelas Guru Tadika Kemas di Bandar Bera ini, penjelasan dibuat kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih keruh.
“Saya rasa tidak senang dengan keadaan begini apabila ada orang lain mengaku dia ibu kandung anak saya. Saya tak redha orang buat begini kepada saya. Saya ibu kandung Mohd Khairul Amri, saya boleh tunjuk surat beranak dia. Saya mengandungkan dia, saya yang melahirkan dia dan saya yang membesarkan dia,” kata Normah.
Abang Mohd Khairul Amri, Adib Adli Syam Selamat, 35, mahu pihak terlibat menghentikan sebarang dakwaan yang dibuat.
Adib mendakwa, ada pihak terlibat cuba mengambil kesempatan ketika mereka berdepan situasi mencemaskan ketika ini.
Penjelasan tersebut diharap dapat memperbetulkan semula keadaan.
Pesawat MAS MH 370 yang membawa Mohd Khairul Amri bersama 226 penumpang lain bersama 12 anak kapal ke Beijing, China hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lalu.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.