MH370: Pesawat AS tiba di selatan Lautan Hindi
Astro Awani
Mac 20, 2014 17:28 MYT
Mac 20, 2014 17:28 MYT
Seorang wartawan yang berada dalam pesawat P8 Poseidon milik tentera laut Amerika Syarikat memberitahu, pasukan pencari mengutip isyarat radar sebuah objek besar di Lautan Hindi yang mungkin ada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.
Wartawan ABC News itu, David Wright adalah satu-satunya wartawan yang menyertai pesawat berkenaan.
P8 Poseidon merupakan pesawat pertama yang tiba di kawasan di selatan Lautan Hindi tempat dua objek yang dipercayai boleh memberikan petunjuk lanjut dalam usaha mengesan MH370, dirakam oleh satelit.
Jurucakap Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat, Komander William Marks bagaimanapun kemudian menjelaskan kutipan isyarat radar itu adalah perkarabiasa dan tidak ada kaitan dengan pesawat yang hilang.
Pihak berkuasa Australia hari ini mendedahkan rakaman satelit yang menunjukkan dua objek dikesan di selatan Lautan Hindi yang mungkin ada kaitan dengan pesawat MH370 yang dicari sejak 8 Mac lalu.
Menurut Wright, penerbangan dari Perth menuju ke kawasan carian itu yang terletak kira-kira 2,500 kilometer mengambil masa tiga jam.