MH370: Pesawat pertama menjejaki dua objek telah berlepas pagi ini, empat lagi menyusul
Azyyati Ahmad
Mac 21, 2014 11:20 MYT
Mac 21, 2014 11:20 MYT
Pesawat pertama pasukan Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah berlepas pagi tadi bagi mencari dua objek yang menjadi penunjuk kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, manakala empat lagi pesawat akan menyusul.
Menurut AMSA, Pesawat pertama Royal Australian Air Force (RAAF) P3 Orion itu telah berlepas kira-kira 6:15 pagi tadi waktu tempatan.
Pesawat Gulfstream dan pesawat kedua RAAF P3 Orian dijangka akan berlepas pada pukul 9 pagi waktu tempatan, dan pesawat ketiga akan berlepas pada pukul 10 pagi waktu tempatan.
Dalam pada itu, pesawat ketenteraan Amerika Syarikat, Navy P8 Poseidon pula dijadualkan menyertai misi pada pukul 1 petang waktu tempatan.
Mengambil kira jarak kawasan carian, pesawat-pesawat yang terbabit dalam misi ini mempunyai ketahanan kira-kira 2 jam dalam masa carian.
Satu kapal maritim kini sudah berada di kawasan carian dan sebuah lagi dijangka tiba malam ini.
Pada Khamis, cuaca mendung dan jarak penglihatan terhad menjejaskan operasi AMSA dan misi pencarian disambung hari ini.
Dalam sidang media pada hari yang sama di Hotel Sama-Sama, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata penemuan dua objek oleh satelit Australia boleh dipercayai namun ia masih belum dapat disahkan.