MH370: Penyiasat Malaysia di Pulau Reunion sehingga siasatan selesai - Liow

Norsiah Mohd Ramli
Ogos 3, 2015 18:04 MYT
LIOW: Pasukan Malaysia yang berada di Pulau Reunion tersebut mendapat sokongan dari pihak berkuasa Madagascar dan Mauritius dalam pencarian. - Gambar Fail
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai hari ini mengesahkan pasukan penyiasat Malaysia akan berada di Pulau Reunion sehingga siasatan berkaitan penemuan serpihan pesawat selesai.
Beliau berkata, pasukan Malaysia yang berada di Pulau Reunion mendapat sokongan dari pihak berkuasa di Madagascar dan Mauritius bagi pencarian yang turut meliputi di kawasan perairan pulau tersebut.
"Pihak berkuasa akan memberi maklum balas secepat mungkin berhubung penemuan di Pulau Reunion kepada umum.
"Kementerian Pengangkutan mengambil langkah segera dengan menghantar dua pasukan ke kawasan terbabit bagi meneruskan pencarian serpihan dari pesawat MH370," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian SJK (C) Bukit Serdang di sini, hari ini.
Liow berkata, pasukan penyiasat dari Malaysia sudah berlepas ke Pulau Reunion, Khamis lalu.
Mengulas spekulasi berhubung penemuan flaperon, Liow berkata orang ramai digesa supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan di Pulau Reunion.
BACA: Serpihan di Pulau Reunion milik MH370? Apa yang diketahui setakat ini
BACA: Pintu pesawat ditemui terdampar di pantai Pulau Reunion
BACA: MH370: Serpihan ditemui tangga, bukan pintu pesawat - Azharuddin
Tambahnya lagi pencarian MH370 di Selatan Lautan Hindi itu kini sudah memasuki fasa kedua.
"Usaha mencari MH370 di Selatan Lautan Hindi sedang diteruskan dan sudah memasuki fasa kedua, semuanya berjalan dengan baik. Orang ramai boleh mendapatkan laporan mingguan mengenai pencarian MH370 di laman web kami (kementerian pengangkutan)," katanya.
#flaperon #Liow Tiong Lai #Madagascar #Malaysia Airlines #Mauritius #MH370
;