MH370: Penemuan serpihan cetus pelbagai kemungkinan - Waris
Astro Awani
Julai 30, 2015 00:37 MYT
Julai 30, 2015 00:37 MYT
Bagi sebahagian ahli keluarga kru penerbangan dan penumpang pesawat MH370 selagi belum ada bukti kukuh, mereka tetap enggan menerima pesawat berkenaan berakhir di Lautan Hindi.
Harapan masih sama agar penantian selama lebih setahun itu berakhir dengan khabar gembira.
Bagi Maira Elizabeth Nari, penemuan bangkai pesawat di Pulau La Reunion, berhampiran Madagascar merupakan satu perkara yang mendebarkan.
"Sebab sudah setahun perkara ini berlalu. Jadi saya rasa sudah tiba masanya mungkin. Kami sudah lama menunggu," jelas Maira ketika dihubungi pada Khamis.
Sejak dilaporkan terputus hubungan pada Mac tahun lalu, pasukan pencari dan penyelamat tidak menjumpai serpihan pesawat MH370, kejadian yang dianggap misteri dalam sejarah penerbangan.
Kehilangan pesawat berkenaan membingungkan penyiasat dan menyebabkan ahli keluarga serta waris masih tercari-cari jawapan.
Kerajaan Malaysia kemudiannya mengisytiharkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang berada di dalam pesawat berkenaan telah terkorban.