MH370: Pencarian wajar diteruskan selepas cuaca buruk berakhir - Pakar

Bernama
Oktober 20, 2016 17:20 MYT
Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang perlu diteruskan selepas cuaca buruk yang melanda kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi ketika ini berakhir. -Gambar fail
Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang perlu diteruskan selepas cuaca buruk yang melanda kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi ketika ini berakhir.
Pakar dan penganalisis penerbangan tempatan memberitahu Bernama, dalam keadaan cuaca buruk, pencarian tidak harus dilakukan kerana ia boleh menjejaskan isyarat sonar yang digunakan untuk mengenal pasti bayangan objek atau pesawat.
Juruterbang Ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata walaupun bayangan yang diberikan oleh isyarat sonar adalah hanya tekaan tetapi ia masih terdedah kepada ralat persekitaran.
Jawatankuasa penyiasat bersama melalui Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) pada Rabu memutuskan misi pencarian MH370 dilanjutkan dua bulan lagi ekoran cuaca buruk dan berkemungkinan berlanjutan sehingga tahun depan.
Pencarian melibatkan kawasan 120,000 kilometer persegi itu sepatutnya selesai pertengahan tahun ini sebelum disambung Disember ekoran cuaca buruk dengan hanya tinggal kira-kira 10,000 kilometer persegi sahaja lagi yang tinggal untuk dicari.
Seorang lagi pakar yang juga peneliti sebuah syarikat penerbangan tempatan, Ahmad Maulan Bardai berkata ada baiknya misi pencarian ketika ini dihentikan sementara kerana dalam keadaan cuaca yang buruk, kadar kemungkinan menemukan kedudukan pesawat menjadi amat kecil.
"Pemberhentian sementara ini akan memberi ruang kepada semua yang terlibat untuk menganalisis keputusan lokasi pencarian. Sama ada diteruskan di lokasi sekarang atau di lokasi baru.
"Pada tahap ini, secara saintifik, lokasi terlogik masih di tempat pencarian sekarang. Namun kesempatan untuk mempertimbangkan lokasi baharu lebih berhampiran lokasi penemuan serpihan akan ada dengan pemberhentian sementara ini.
"Apa yang perlu dikaji adalah kesahihan serpihan yang ditemukan sebelum ini sama ada memang berasal dari pesawat tersebut," katanya.
Kedua-dua pakar berkenaan turut ditanya sama ada misi pencarian perlu beralih arah ke Pulau Mauritius memandangkan lebih banyak serpihan ditemui di sana berbanding di Lautan Hindi ketika ini.
Menjawab soalan tersebut, Harridon berkata misi tersebut perlu terus dilakukan di lokasi ketika ini dan juga di sekitar perairan di timur Afrika.
Jelasnya, pencarian harus dikekalkan di selatan Lautan Hindi kerana data Inmarsat menunjukkan bangkai utama pesawat berada di sana manakala serpihan serpihan kecil akan berlegar di sekitar perairan di Timur Afrika mengikut 'teori hanyut'.
"Kita perlu menyatukan kedua-kedua teori untuk mendapatkan serpihan-serpihan kecil dan bangkai utama pesawat kerana ia akan memberikan gambaran holistik akan tragedi tersebut.
"Misalannya corak rekahan pada serpihan kecil dapat memberikan informasi akan kekuatan impak pesawat semasa hentakan di lautan," katanya.
Ahmad Maulan pula berpendapat, lokasi pencarian perlu dipindahkan sekiranya pola penemuan serpihan sebelum ini memberikan tanda-tanda yang tidak rawak (boleh dipertikai) dan boleh dijangkakan.
"Untuk menjadikan lokasi penemuan serpihan di sekitar kepulauan Mauritius, setiap serpihan haruslah memberi kemungkinan yang tinggi bahawa ia berasal dari pesawat itu," katanya.
Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac, 2014.
Pesawat itu masih belum ditemui walaupun operasi mencari besar-besaran dijalankan di selatan Lautan Hindi, lokasi di mana penerbangan pesawat itu dipercayai "berakhir" selepas beralih daripada laluan asalnya.
Pada 22 Julai, Malaysia, China dan Australia berkata pencarian pesawat MH370 itu akan digantung selepas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi selesai. -- BERNAMA
#Malaysia Airlines #MH370 #pencarian pesawat #selatan Lautan Hindi
;