MH370: Pencarian diteruskan meskipun cuaca dijangka buruk
Bernama
April 1, 2014 13:34 MYT
April 1, 2014 13:34 MYT
Sepuluh pesawat dan sembilan kapal membantu pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang itu.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata kawasan pencarian operasi pada hari ini menjangkau 120,000 km persegi, ke barat Perth.
Ia berkata cuaca di kawasan pencarian dijangka buruk, dengan jarak penglihatan yang terhad.
Sepuluh pesawat yang terlibat pada hari ini ialah dua P3 Orion Tentera Udara Diraja Australia, dua C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia, sebuah Ilyushin IL-76 China, sebuah P8 Poseidon Tentera Laut Amerika Syarikat, sebuah jet Gulfstream Jepun, masing-masing sebuah P3 Orion dari Korea Selatan, Tentera Udara Diraja New Zealand dan Jepun.
"Sembilan kapal telah ditugaskan mencari di empat kawasan. Kapal Pertahanan Australia Ocean Shield berlepas dari HMAS Stirling malam Isnin , dengan pengesan bunyi 'ping'," kata AMSA dalam satu kenyataan dari laman sesawangnya hari ini.
Isnin lepas, Australia telah menubuhkan Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) yang diketuai oleh Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston, bekas Panglima Pasukan Pertahanan Australia, di Perth untuk menyampaikan dengan berkesan aktviti-aktiviti kerajaan Australia berkaitan operasi mencari.
JACC juga akan memastikan orang awam dan mereka yang berkepentingan, terutamanya keluarga penumpang dan anak kapal mengetahui perkembangan penyiasatan ke atas penerbangan MH370 Malaysia Airlines.