MH370: Pencarian diteruskan guna aset swasta tajaan kerajaan - Panglima ATM

Muhafandi Muhamad
Jun 25, 2015 07:31 MYT
Salah satu kapal Fugro yang telah beredar dari kawasan pencarian bagi membuat kunjungan ke pelabuhan terdekat untuk mengisi semula bekalan merupakan perkara rutin dalam operasi mencari. - Gambar Fail
Pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak Mac tahun lalu akan tetap diteruskan namun kali ini ia akan menggunakan aset swasta yang dibayar secara kontrak oleh kerajaan.
Menurut Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin, pencarian menggunakan kapal yang mempunyai kuasa sonar dilakukan melalui kerjasama dengan negara China dan Australia.
Katanya Kementerian Pertahanan hanya memantau pencarian tersebut dan sekiranya ada penemuan baru, penggunaan aset tentera akan digerakkan.
"Kementerian Pertahanan masih memantau dari segi aset pencarian walaupun bukan aset tentera yang kita terpaksa bayar kerana kita tidak mempunyai aset khusus. Pakar dari Tentera Laut Diraja kita juga turut terlibat memantau laporan itu. Sekiranya ada penemuan, (akan) dikerahkan aset tentera untuk proses recovery," kata Zukifeli.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama anggota tentera di Kem Desa Pahlawan di sini pada Khamis.
Katanya, pencarian yang dilakukan oleh kapal berkenaan dilakukan sekitar selatan Lautan Hindi.
Selain itu, tiga buah kapal yang ketika ini terlibat dalam fasa operasi mencari pesawat MH370 yang hilang telah beredar dari lokasi pencarian di Lautan Hindi, tetapi dua daripadanya akan kembali semula ke kawasan terbabit.
Pusat penyelarasan agensi bersama (JACC) Australia, yang menyelia operasi mencari itu, berkata Go Phoenix menghentikan operasi di laut dalam pada 20 Jun, susulan kontraknya dilaporkan telah tamat.
Dua lagi kapal, Fugro Discovery dan Fugro Equators telah beredar dari kawasan itu bagi membuat kunjungan ke pelabuhan terdekat untuk mengisi semula bekalan yang merupakan perkara rutin dan perlu dalam operasi mencari, menurut JACC dalam satu kenyataannya yang terbaru.
Sabtu lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata fasa satu misi mencari melibatkan kawasan seluas 60,000-km persegi di Lautan Hindi dijangka selesai menjelang akhir bulan ini.
Malaysia juga katanya komited untuk meneruskan misi mencari ke fasa dua yang melibatkan tambahan kawasan seluas 60,000km persegi.
#jacc #Liow Tiong Lai #MH370 #Pusat Penyelarasan Agensi Bersama
;