MH370: Pasukan yang mengkaji serpihan amat berpengalaman
Astro Awani
Ogos 1, 2015 19:30 MYT
Ogos 1, 2015 19:30 MYT
Pasukan yang akan mengkaji serpihan pesawat yang dipercayai dari sebuah pesawat Boeing 777, yang telah tiba di Perancis pada Sabtu, adalah sebuah pasukan yang sangat berpengalaman.
Wakil Astro AWANI di Toulouse, Chris Bockman berkata pasukan itu , termasuk pengeluar dan pembekal, adalah antara pasukan yang sama yang terlibat dalam penyiasatan bangkai pesawat dari nahas Air France pada tahun 2009.
"Pada hari Rabu mereka akan mula melakukan pemeriksaan ke atas serpihan itu. Pihak berkuasa Perancis amat berminat untuk mengetahui apa yang berlaku kerana empat warga Perancis hilang dalam pesawat tersebut.
“Di sini terdapat begitu banyak kepakaran termasuk pengeluar dan pembekal.
“Mereka mempunyai banyak pengalaman dalam kerja-kerja mengkaji bangkai pesawat. Contohnya semasa nahas Air France pada 2009, semua bangkai pesawat telah dibawa ke tempat yang sama di mana bangkai pesawat yang ditemui akan dibawa pada Rabu ini.
“Mereka yang sama akan mengkaji bangkai pesawat yang akan dibawa ke situ pada Rabu. Mereka mempunyai banyak pengalaman berurusan dengan bangkai pesawat,” katanya kepada Astro AWANI semasa satu wawancara menerusi Skype.