MH370: Pasukan penyiasat Malaysia kini berada di Mozambique - Liow
Tan Su Lin
Mac 6, 2016 15:24 MYT
Mac 6, 2016 15:24 MYT
Pasukan penyiasat Malaysia kini sedang berada di Mozambique untuk mengenal pasti serpihan yang ditemui pada Khamis, sama ada ia milik pesawat MH370.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pasukan itu akan mengadakan perjumpaan dengan pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Mozambique esok untuk memutuskan sama ada untuk menganalisa serpihan yang ditemui di Australia atau Malaysia.
"Pasukan kita sudah berada di Mozambique dan mereka akan berjumpa dengan Ketua Pengarah DCA esok pagi kerana hari ini adalah Ahad. Mereka akan bincang untuk bawa balik serpihan yang dijumpai. Kami juga akan berbincang dengan Australia kerana pasukan mereka juga berada di Mozambique jadi kami akan putuskan sama ada bawa ke Australia atau Malaysia."
"Pada mulanya, mereka ingin membawa ke Australia kerana terdapat pasukan pencarian di sana. Kerajaan Malaysia tidak mempunyai apa-apa masalah, boleh dianalisa di Australia atau Malaysia, tetapi apa yang penting adalah mengenal pasti serpihan berkenaan dan sekiranya ia MH370, ia adalah milik kerajaan Malaysia dan akan dianalisa oleh pasukan penyiasat Malaysia," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran bangunan baharu Wisma MCA Kepong di sini, hari ini.
Beliau juga menyeru agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi sehingga serpihan itu dianalisa.
"Saya ingin tekankan di sini bahawa serpihan itu perlu diperiksa sebelum dapat mengesahkan ia milik MH370 atau tidak. Jadi janganlah membuat sebarang spekulasi. Biar kami melakukan proses verifikasi terlebih dahulu."
Sementara itu, menjelang ulang tahun kedua sejak kehilangan MH370 pada 8 Mac ini, ahli keluarga penumpang disarankan agat memfailkan tuntutan kepada kerajaan dan MAS sebelum tamat tarikh tempoh dua tahun.
"Semua waris dan ahli keluarga belum yang buat tuntutan MAS perlu buat demikian sebelum 8 Mac sebab mengikut Montreal Convention, sekiranya tidak memfailkan tuntutan sebelum 8 Mac, 2 tahun selepas insiden MH370, maka mereka akan hilang kelayakan mereka," katanya.
Sementara itu, katanya satu sesi Parlimen khas akan diadakan bagi memperingati ulang tahun kedua insiden kehilangan MH370 pada 8 Mac ini.
Pesawat Malaysia Airlines itu bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Biarpun operasi pencarian besar-besaran dijalankan di tempat ia dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi, selepas melencong daripada laluan asal, namun pesawat itu masih belum dijumpai.
Pada 29 Julai tahun lepas, flaperon dijumpai di Pulau La Reunion, Perancis di Lautan Hindi.
Hasil analisa serpihan pasukan penyiasatan di Perancis mengesahkan ia milik MH370.
#DCA
#Jabatan Penerbangan Awam
#Kementerian Pengangkutan Malaysia
#Liow Tiong Lai
#MAS
#MH370
#Mozambique
#penerbangan Malaysia