Kalangan pakar akan bermesyuarat sekali lagi sebaik sahaja misi pencarian di dasar laut bagi pesawat Malaysia Airlines MH370 di selatan Lautan Hindi selesai, menurut Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia.

"Misi pencarian itu kemungkinan besar akan selesai pada Jun atau Julai tahun ini. Selepas itu, kami akan lihat apa langkah seterusnya," kata Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Kepemimpinan Pertunjukan Udara Penerbangan Singapura di sini pada Isnin.

Beliau berkata kira-kira 90,000km persegi daripada 120,000km persegi kawasan pencarian telah diliputi setakat ini.

Ditanya sama ada kawasan pencarian akan diperluaskan, beliau berkata: "Pakar-pakar telah tentukan. Kami telah meliputi 99 peratus kebarangkalian... melangkauinya adalah tidak mungkin.

"Kami telah bersetuju (kawasan) 120,000km persegi adalah tempat pesawat itu dipercayai berada."

BACA: Netizen kesal ramai sebar berita palsu MH370

Misi pencarian pesawat MH370 sedang dijalankan bersama-sama Australia dan China. Empat buah kapal terbabit dalam pencarian itu.

Pesawat MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemukan walaupun misi pencarian besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai berakhir selepas melencong daripada laluan asal.

VIDEO: Laporan penemuan juruterbang MH370 adalah palsu