MH370: Pak Selamat harap ada cahaya di hujung terowong

Bernama
Mac 7, 2016 23:07 MYT
Selamat Omar, 63, bapa kepada Khairul Amri,29, salah seorang mangsa pesawat MAS MH370 sugul menunjukkan gambar anaknya itu selepas dua tahun kehilangan pesawat MAS malang itu yang masih belum terjawab ketika ditemui Isnin. - Gambar Bernama
Esok genap dua tahun misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, namun bagi Selamat Omar, bapa seorang daripada penumpang pesawat malang itu, masih menaruh harapan anaknya itu akan ditemui.
Bagi Selamat, 63, anak lelakinya Mohd Khairul Amri masih hidup selagi tiada bukti menunjukkan pesawat itu terlibat dengan tragedi yang mengorbankan semua anak kapal dan penumpangnya.
"Selama dua tahun ini saya tidak pernah putus berdoa agar pesawat itu ditemui selamat. Dalam tempoh itu jua sekalipun saya tidak pernah bermimpi bertemu anak lelaki saya ini sedangkan orang berkata kalau kita merindui seseorang yang telah 'pergi' kita pasti akan bertemu dengannya di dalam mimpi.
"Saya pun pernah bertanya perkara itu kepada waris penumpang yang lain dan mereka juga menyatakan perkara yang sama dan selagi tidak dapat dibuktikan pesawat itu terhempas keyakinan anak saya masih hidup adalah 50-50," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Selamat berkata walaupun sedih kerana sehingga hari ini misteri kehilangan pesawat Boeing 777 itu masih belum dapat dirungkai, namun sebagai orang Islam beliau menerima apa jua ketentuan Ilahi.
Menurut Selamat, kehilangan anak kesayangannya itu yang juga jurutera pesawat amat terasa setiap kali apabila kesihatannya terganggu.
"Biasanya Mohd Khairul Amrilah yang rajin bertanya khabar dan selalu mengambil berat tentang diri saya. Jadi apabila tidak sihat ni saya teringatlah padanya kerana beliau sering mengingatkan saya untuk mengambil ubat," katanya yang mengidap penyakit kencing manis.
Pesawat MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan disahkan terhempas di Selatan Lautan Hindi.
Sementara itu, mengulas tentang penemuan terbaharu serpihan berkemungkinan daripada pesawat MH370 terdampar di tebing pasir di Mozambique, berhampiran Pulau Reunion baru-baru ini, Selamat berkata beliau enggan meletakkan sebarang harapan.
"Saya tidak yakin ia milik MH370 kerana lokasi penemuan terlalu jauh daripada kawasan misi pencarian, lagipun dalam tempoh dua tahun tidak mungkin tiada kapal atau pesawat yang lalu di situ dan menemuinya.
"Apa-apa pun selagi makmal dan pakar-pakar pesawat antarabangsa tidak menganalisa dan putuskan ia merupakan milik pesawat MH370 saya tidak akan mempercayainya," katanya.
Sehubungan itu beliau amat berharap semua pihak tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan berhubung perkara itu kerana ia akan menyinggung perasaan waris pesawat MH370 yang sudah tidak mampu menghadapi sebarang berita yang tidak benar.
Dalam masa yang sama beliau berharap agar rakyat Malaysia terus berdoa supaya misteri pesawat itu dapat dirungkai dan menjanjikan 'cahaya di hujung terowong'.
#bapa seorang daripada penumpang pesawat malang itu #Esok genap dua tahun misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 #Mohd Khairul Amri #namun bagi Selamat Omar
;